Monday, November 1, 2021

Perlu buat audit tahunan bagi perbelanjaan pertahanan, kata penganalisis

 

Sebuah kenderaan perisai Gempita di perarakan Hari Kebangsaan. Perolehan kenderaan ini bermula pada 2011, namun audit hanya dijalankan pada 2020, menurut penganalisis. (Gambar Wikipedia)

PETALING JAYA: Seorang penganalisis mempersoalkan peruntukan bagi Kementerian Pertahanan dalam Bajet 2022, dengan berkata, pemantauan Parlimen diperlukan untuk memastikan ketelusan dalam cara dana itu dibelanjakan.

Lam Choong Wah, bekas felo di Pusat Kajian bagi Kemajuan Sosial (REFSA) memberi contoh dana besar yang diperuntukkan untuk pembelian perabot bagi keluarga tentera, dan peruntukan sekali beri bagi “pertahanan darat dan udara”, yang kedua-duanya perlu dijelaskan dengan lebih terperinci.

Beliau juga bertanya, berapa ramai di Kementerian Pertahanan yang akan terjejas oleh pemotongan emolumen bagi kakitangan kontrak kepada sifar bawah Bajet 2022.

Bajet 2022 yang dibentangkan Jumaat lepas memperuntukkan RM16 bilion bagi Kementerian Pertahanan.

Lam berkata, perbelanjaan pertahanan patut ditingkatkan setiap tahun untuk mengimbangi inflasi, mengemas kini aset dan memperkenalkan keupayaan pertahanan baharu.

Bagaimanapun, lebih banyak perbelanjaan bagi pertahanan bukan keutamaan sekarang disebabkan Covid-19.

“Mengekalkan perbelanjaan pertahanan yang sama seperti peruntukan tahun lepas adalah paling rasional,” katanya.

Beliau berkata, RM1.6 bilion yang diperuntukkan untuk tentera udara akan digunakan untuk mendapatkan sistem pesawat tanpa pemandu dan pesawat tempur ringan yang katanya mungkin diperoleh tahun depan.

Mengenai aset darat dan maritim, Lam percaya bahawa peruntukan itu akan tertumpu kepada projek semasa membabitkan kenderaan perisai Gempita dan kapal tempur pesisir pantai.

“Dilaporkan bahawa RM1 bilion bagi projek kapal tempur itu hilang dan tidak dapat dikesan.

“Perolehan kenderaan perisai Gempita bermula pada 2011. Setakat ini, kontraktor pertahanan telah menghantar lebih 200 unit dan RM7.02 bilion telah dibayar,” katanya
.
Kementerian Pertahanan hanya menjalankan audit dalaman pada 2020, sembilan tahun selepas pelancaran projek itu, katanya sambil menggesa agar audit tahunan dijalankan kerana banyak perbelanjaan masih tersembunyi dan tidak dipantau. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.