Thursday, December 30, 2021

‘Long Tiger’ nak lari ke negara jiran, dipercayai tawar upah RM30,000

 

Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid meloloskan diri melalui pintu utama Mahkamah Majistret Tangkak pada 15 Dis lepas.

PETALING JAYA: Lelaki etnik Rohingya dikenali sebagai “Long Tiger” dikatakan menawarkan upah antara RM20,000 hingga RM30,000 untuk membawanya ke utara tanah air melalui jalan darat dengan menaiki kereta.

Memetik laporan Kosmo, penjenayah paling dikehendaki berketurunan Rohingya itu dipercayai memberi upah yang lumayan kepada tiga individu untuk membantunya melarikan diri ke negara jiran sama ada Indonesia atau Thailand.

Turut dilaporkan, Long Tiger me­ngarahkan mereka menggunakan jalan dalam, bukannya lebuh raya untuk mengelakkan dirinya dikesan lebih awal.

Bagaimanapun, polis masih menyiasat jumlah sebenar upah yang diberikan itu.

Long Tiger yang dilaporkan melarikan diri dari lokap mahkamah di Johor berjaya diberkas kelmarin di Sungai Petani, Kedah, dibawa ke Mahkamah Majistret Tangkak.

Bersama Long Tiger, tiga lagi individu lelaki yang berusia 36, 38, dan 46 tahun dipercayai terlibat memberi perlindungan kepadanya.

Semasa tangkapan pada jam 3.15 petang semalam oleh polis Bukit Aman itu, Long Tiger mengalami beberapa kecederaan selepas tergelincir dari bumbung rumah.

Susulan pemeriksaan di rumah itu, polis menahan seorang lelaki berperwatakan perempuan berusia 46 tahun.

Terdahulu Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid, 32, meloloskan diri melalui pintu utama Mahkamah Majistret Tangkak sebelum perbicaraan terhadapnya di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan bermula. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.