Saya amat bersetuju dengan apa yang diketengahkan oleh Zaid Ibrahim (FMT 30 Nov 21) tentang isu royalti minyak untuk Kelantan dan Terengganu.
Perjanjian yang dimeterai oleh kerajaan persekutuan dengan negeri-negeri pengeluar minyak dan gas pada 1975 mesti ditunaikan. Bayaran royalti minyak dan gas mesti dijelaskan.
Jangan diadakan alasan demi alasan untuk tidak menunaikan janji dan tidak membayar apa yang telah lama dipersetujui.
Lihatlah contoh di negara maju seperti United Kingdom, misalnya. Tidak ada sebarang rungutan atau pertikaian mengenai pampasan untuk Scotland bagi hak menerokai hasil minyak dan gas di wilayah itu.
Wakil rakyat Scotland dan kerajaan pusat di London tidak pernah bertengkar mengenai isu ini.
Hasil minyak dan gas di UK terdapat cuma di Scotland, tetapi pemimpin mereka lebih matang untuk menerima apa yang boleh dikongsi dan yang patut dibahagi.
Perkembangan industri minyak dan gas
Perkembangan dan pembangunan industri minyak dan gas juga dibina keseluruhannya di Scotland.
Tidak terdapat ahli politik dari England atau Wales atau Northern Ireland yang merebut peluang untuk mengadakan kemudahan aktiviti-aktiviti hiliran seperti kilang penapisan atau kilang pencairan gas di wilayah lain di UK.
Berbeza dengan keadaan di Malaysia. Sekian lama ada kalangan pemimpin kita yang tidak jujur dan tidak berlaku adil.
Petronas dipulas sekian lama oleh kerajaan pusat dengan berbagai keputusan yang merugikan negeri dan negara.
Fahaman politik berlainan turut menjadi jurang pemisah. Perbezaan ini menjurus kepada kepimpinan yang cetek, berat sebelah, dan siri penipuan serta rampasan hak rakyat.
Terdapat pelbagai contoh keputusan-keputusan mencurigakan. Umpamanya, minyak dan gas dari Terengganu diangkut ke Melaka untuk ditapis.
Gas dari Kelantan pula disalurkan ke negara jiran di Thailand. Kenapa tidak di Kelantan sendiri supaya kepentingan ekonomi dan peluang pekerjaan itu terbina di Kelantan?
Sekarang, berbagai projek minyak dan gas diasaskan di Johor walaupun hasil hulunya datang dari Terengganu dan Kelantan.
Kenapa Universiti Teknikal Petronas didirikan di Perak, tidak di Sarawak, tempat pertamanya hasil minyak ditemui di Malaysia.
Pelbagai alasan tidak logik dikemukakan di sebalik keputusan-keputusan ini, termasuk, kesesuaian Melaka dan Pengerang sebagai lokasi paling sesuai untuk dibangunkan industri berkenaan.
Antara lain ia dikatakan lebih dekat dengan pasaran namun keputusan-keputusan demikian turut diselubungi dengan pelbagai dakwaan dan spekulasi di luar kepentingan nasional.
Kerajaan PAS
Mereka lupa bahawa kawasan produksi hiliran itu seharusnya dekat dengan daerah produksi. Oleh kerana permintaan minyak dan gas yang tinggi, keuntungannya juga tinggi. Ia menjadikan kos penghantaran bahan hiliran menjadi jauh lebih murah dari kos mengangkut bahan asli.
Kerajaan PAS yang memerintah Kelantan selama lebih 30 tahun dan Kerajaan PAS Terengganu pada 2004 tidak cekap.
Mereka tidak menjadikan isu royalti 5% ini sebagai satu wacana politik yang ketara sepertimana kerajaan Sarawak dan Sabah yang mahukan hasil minyak dan gas mereka dikongsi pada kadar 20%.
Di Sarawak dan Sabah, kerajaan persekutuan dilihat sebagai tidak adil, rakus dalam pembahagian hasil sumber alam ini, dan tidak telus dalam pembahagian belanjawan.
Dalam hal royalti ini, pihak Perdana Menterilah yang dipersalahkan kerana Petronas dilihat sebagai bawah bidang kuasa beliau.
Putrajaya sekarang ini ternyata memerlukan sokongan dari parti-parti kecil yang menjadi rakan pemerintah di Sabah dan Sarawak.
Di sinilah terserlahnya kepandaian dan kecekapan pemimpin-pemimpin parti kecil dari Sabah dan Sarawak, yang tegas lagi berani untuk menuntut hak-hak mereka.
Ahli politik PAS di Terengganu dan Kelantan tidak bersifat sedemikian. Mereka kurang dari segi pengetahuan, apa lagi untuk berhujah tentang hal-hal teknikal terutama tentang perkara berkaitan produksi dan pemasaran minyak dan gas.
Dana kekayaan berdaulat
Sekarang bayaran pampasan 5% telah berganda jumlahnya kerana tidak dibayar mengikut jadual asal. Kerajaan persekutuan banyak berhutang dengan kerajaan Terengganu dan Kelantan.
Sudah lebih dua dekad Kelantan tidak menerimanya. Terengganu tidak menerima wang royalti sejak 2004 tetapi selepas BN menang semula pada 2008, ia bertukar menjadi ‘wang ehsan’ yang disalurkan untuk membiayai kejohanan ‘Monsoon Cup’. Ini dilihat sebagai pembaziran dan menarik spekulasi mengenai siapa yang mengaut keuntungan berlipat ganda daripada penganjuran acara yang tidak langsung memberi impak kepada rakyat Terengganu.
Kemudian, terbentuk pula ‘Terengganu Investment Authority’ atau TIA yang kononnya mahu dijadikan ‘Sovereign Wealth Fund” atau Dana Kekayaan Berdaulat yang mengutip hasil dari royalti minyak dan gas Terengganu.
Seperti yang kita tahu, TIA juga dirundung kontroversi dan dikaitkan dengan Low Taek Jho atau Jho Low, iaitu ahli perniagaan yang dikehendaki polis kerana skandal 1MDB.
Royalti 5%
Namun wang royalti 5% yang termaktub dalam perjanjian tidak pernah dikota. Putrajaya sengaja tidak mahu melunaskannya walaupun ada perjanjian yang nyata, jelas, dan terang.
Tentunya tindak-tanduk kerajaan dalam menguruskan isu royalti ini bakal mengundang reaksi setimpal daripada rakyat pada pilihan raya umum akan datang.
Pengundi juga akan menilai ahli politik dari Kelantan dan Terengganu yang tidak berani bersuara kerana kelangsungan politik sempit parti dan diri mereka sendiri.
Saya kira masanya telah tiba untuk rakyat sedar pentingnya melantik pemimpin politik yang jujur dan bijaksana untuk mencari jalan penyelesaian. Royalti 5% minyak dan gas ini milik rakyat Terengganu dan Kelantan.
Kerajaan pusat mesti bertindak adil untuk mengisi agenda Islam dan Keluarga Malaysia yang ditawarkan kepada rakyat.
Apa maknanya semua slogan ini dicanang di segenap pelusuk negara kalau janji lama pun belum dikota? - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.