Friday, January 28, 2022

Johor makmal pulih atau punah maruah Melayu-Islam?

 

Umno mahu sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh mentadbir Johor. Ia tidak mahu bergantung pada ihsan pembangkang semata-mata dalam melaksanakan tugas mengurus pembangunan negeri itu.

Ini kerana kerajaan pimpinan Umno kini mempunyai majoriti hanya satu kerusi sahaja di Dewan Undangan Negeri. Lantas Umno nekad membubarkan kerajaan dan mendorong PRN diadakan.

Bagi Umno hanya mandat baharu lebih besar sahaja akan menjamin kestabilan pemerintahan negeri dan Umno yakin mampu melakukannya.

Bagaimanapun keputusan yang telah mendapat perkenan Sultan Johor pada 22 Januari lalu segera mengundang pelbagai kerumitan bagi kerabat Umno dalam kerajaan Perikatan Nasional Johor.

Malah pihak pembangkang – Pakatan Harapan – menganggap PRN tidak sesuai dilangsungkan dalam iklim ekonomi murung dan pandemik Covid-19 yang mengancam negara keseluruhannya.

Pengerusi Umno Johor, Hasni Mohamad berkata, langkah itu tetap wajar diambil dan tidak menyembunyikan hasrat Umno mahu terus mengekori kemenangan besar PRN Melaka 21 November lepas.

Umno berkira sekaranglah masanya untuk mencarta kembalinya Umno sebagai gergasi politik selepas kecewa dengan pencapaian PRU 2018.

Apapun, sempadan persaingan dalam PRN Johor sudahpun dilarik. Ia akan jadi pertandingan sekurang-kurangnya tiga pakatan politik utama – Barisan Nasional (BN), PN, dan PH.

Sekaligus inisiatif Umno ini nampaknya membuat PAS tersentak dan tidak puas hati dengan Umno yang didakwa menawarkan hanya empat kerusi walhal ia telah memaklumkan kepada Umno ia mahu bertanding merebut semua kerusi yang Umno gagal tawan pada PRU 2018.

Sasaran PAS ialah mahu sekurang-kurangnya merampas semua kerusi yang dimenangi oleh parti serpihannya, Amanah dalam PRU lalu demi pengukuhan Muafakat Nasional (MN) yang diwujudkan bersama Umno.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS mengemukakan formula itu kepada Umno kerana mahu menghalang Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa di Johor.

Bagaimanapun kata Menteri Alam Sekitar dan Air itu, apabila cadangan PAS tidak diterima, rundingan dengan Umno-BN akhirnya gagal mencapai titik persefahaman.

“PAS menghormati pendirian Umno (dan BN) untuk bergerak solo. Bagi PAS, kami sudah hulurkan salam muafakat dan penyatuan ummah. Menawarkan (PAS) empat daripada 56 kerusi itu, saya fikir bukan cara baik,” katanya.

Lantas Tuan Ibrahim menegaskan bahawa PAS dan PN akan “turun dengan segala kekuatan” bagi menghadapi PRN Johor selepas Umno membuat keputusan untuk bergerak solo.

“PAS akan adakan perbincangan dalam masa terdekat dengan semua parti dalam PN bagi menyusun strategi menghadapi PRN ini,” katanya.

Keadaan ini berkemungkinan besar memercikkan api perseteruan baru di antara bukan sahaja PAS dengan Umno tetapi membabitkan sebuah lagi kerabat PN, Bersatu.

PAS kini nampaknya mula menggerakkan pelan alternatifnya. Ia perlu manfaatkan kedudukannya dalam PN sepenuhnya. Sementara Umno pula mencongak bahawa ia sudah cukup letih melayani telatah politik PAS.

Jika kedudukan ini tidak segera berubah, premis kerjasama yang menjodohkan Umno dengan PAS iaitu untuk mengukuhkan kerajaan Melayu-Islam akan menjadi hanya satu impian.

Seperti dimaklumi Bersatu secara langsung atau tidak adalah parti serpihan Umno. Muhyiddin Yassin ada sebab tersendiri mengapa beliau menubuhkan parti itu setelah dipecat dari Umno. Erti politiknya ialah, Bersatu akan mencabar Umno dalam semua kesempatan.

Sebarang ikatan Umno-Bersatu kini nampaknya amat sukar dipertahankan. Lebih-lebih lagi Umno tidak lagi mahu berselindung kekecewaannya tentang prestasi Bersatu dalam kerajaan persekutuan yang dipimpinnya.

PAS sebelum ini menghitung bahawa ia tidak akan mampu menjadi parti Melayu-Islam unggul sendirian. Lantas ia melirik pada Umno yang kalah teruk pada PRU14 untuk bekerjasama dalam sebuah pakatan politik baharu.

Menimbangkan idea PAS mungkin satu ramuan politik paling mujarab ketika ia sedang merawat luka kekalahan terburuk dalam sejarah politik Malaysia, Umno bersetuju. Maka terbentuklah Muafakat Nasional (MN).

Namun tidak sukar bagi umum membaca sebenarnya PAS lebih ghairah segera menyunting kerjasama Umno kerana bimbang parti serpihannya – Amanah – akan mekar bersama PH.

Umno pun menghadapi dilema yang sama. Ia bimbang parti serpihannya pula – Bersatu – akan lebih panjang langkahnya jika terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan yang sudahpun mampu membentuk kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun PRN Johor melondehkan topeng politik PAS dan Bersatu. Ia menyerlahkan betapa longgar dan tipisnya tahap kebolehpercayaan dua parti Melayu-Islam itu.

Bersatu yang bermula dengan menggabungkan diri bersama PKR serta DAP dan Amanah dalam PH, berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional pada 2018.

Namun mungkin terkesima dengan semangat assabiyah Melayu-Islam PAS, Bersatu mentalak PKR, DAP, dan Amanah seraya menguja keluar sebilangan Ahli Parlimen mereka untuk menubuhkan pola politik baharu dan mengambil alih kerajaan pusat mengikut strategi Langkah Sheraton.

Kekecewaan melampau terhadap politik Bersatu-PAS ini memaksa bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang membimbing PH ketika itu, membuat keputusan untuk meletak jawatan. Muhyiddin Yassin diangkat menjadi Perdana Menteri.

Namun Umno yang kehilangan khidmat dua pemimpin utamanya selepas PRU14 – Najib Razak dan Zahid Hamidi – tidak berdiam diri. Gelagat pembesar Bersatu diteliti dan dicari kelemahannya. Akhirnya Umno berhasil merampas kembali pucuk pimpinan negara.

Kini segala muslihat sudah terdedah. Umno sudah kembali berkuasa di Putrajaya dan Melaka. Mungkinkah Johor akan menjadi gelanggang Umno mengusap semula kegemilangan silam?

Atau, adakah di bumi Darul Takzim ini, idea kerajaan Melayu-Islam yang dipupuk PAS akan menjadi satu fatamorgana yang akan mencerai-beraikan perpaduan Melayu-Islam sebenarnya? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.