Sunday, January 16, 2022

Pendaftaran parti baharu diluluskan, kata Peter

 

Peter Anthony (tengah) bercakap kepada media selepas menemui penduduk Kampung Biau di Papar hari ini

PAPAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Peter Anthony berkata, parti baharu yang ditubuhkannya sudah diluluskan pendaftaran.

Bekas Naib Presiden Warisan itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai parti baharu itu.

“Ya, sudah diluluskan, majlis pengenalan akan diadakan di Tenom pada 28 Jan, seterusnya pelancarannya dan kita juga akan buat ‘tour’ di seluruh negeri.

“Mungkin ramai yang beranggapan parti (baharu) ini tidak akan diluluskan, tapi ianya sudah diluluskan,” katanya selepas menemui penduduk Kampung Biau, di sini.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah ADUN Limbahau, Juil Nuatim yang bersama Peter meninggalkan Warisan pada 28 Dis lalu.

Peter berkata, penubuhan parti baharu itu bukan untuk memecahbelahkan masyarakat, khususnya Kadazandusun dan Murut (KDM) seperti didakwa sesetengah pihak.

Katanya, parti tempatan itu adalah satu lagi platform untuk membantu orang Sabah tanpa mengira kaum dan agama.

“Semua maklum, selepas saya membuat pengumuman (keluar Warisan) beberapa minggu lalu, Presiden STAR, Jeffrey Kitingan secara terbuka menjemput saya menyertai parti itu dan kita berterima kasih.

“Bagaimanapun, saya sendiri telah berhubung dengan pemimpin PBS (Parti Bersatu Sabah), malah Jeffrey sendiri bagi memaklumkan penubuhan parti baharu ini, kita bukan mahu memecah belahkan KDM.”

Mengenai sejumlah pemimpin dan ahli Warisan di beberapa bahagian meninggalkan parti itu untuk menyokongnya, Peter berkata, tindakan itu sekali gus menyangkal dakwaan beliau keluar Warisan kerana terbabit kes mahkamah.

“Mereka mengatakan saya keluar Warisan kerana mempunyai kes mahkamah, tapi adakah Juil mempunyai kes mahkamah? Bahagian-bahagian yang keluar mempunyai kes mahkamah?” soalnya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.