Saturday, January 29, 2022

Treler hilang kawalan rempuh 8 kenderaan lain di Karak

 

Sebuah treler terbabas ke tepi jalan akibat hilang kawalan menyebabkan pelanggaran beberapa buah kenderaan lain dalam di Kilometer 40, Lebuhraya Karak – Kuala Lumpur berdekatan Bentong, Pahang pagi tadi. (Gambar PDRM)

PETALING JAYA: Sebuah treler yang hilang kawalan merempuh lapan kenderaan lain dalam kejadian di Kilometer 40, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (LRK) berdekatan Bentong hari ini.

Ketua Polis Bentong Zaiham Mohd Kahar berkata, kejadian jam 9.30 pagi tadi, membabitkan dua MPV jenis Mitsubishi dan Toyota Estima, lima kereta jenis Perodua Axia, Perodua Myvi, BMW, Toyota Vios, Proton Saga, kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dan sebuah treler jenis Volvo.

Beliau berkata, hasil siasatan polis mendapati lori treler yang dipandu lelaki tempatan berusia 42 tahun datang dari arah Kuala Lumpur telah hilang kawalan ketika tiba di tempat kejadian.

“Pemandu treler mengalami kecederaan ringan di bahagian lengan dan dahi, manakala pemandu kereta lain tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan menurut laporan Utusan Malaysia.

Zaiham berkata, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM4,000 dan tidak melebihi RM10,000 dan boleh dipenjarakan dalam tempoh tidak lebih 12 bulan.

“Polis meminta orang ramai yang melihat kejadian supaya dapat tampil membantu polis untuk membuat siasatan.

“Saya menasihati orang orang ramai yang menggunakan Lebuhraya Karak – Kuala Lumpur supaya lebih berhati-hati ketika memandu serta memastikan kenderaan diselenggarakan dengan baik sebelum memulakan perjalanan,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.