Friday, January 28, 2022

Vellfire berpusing dilanggar pikap, 4 maut

 

Seorang ibu dan tiga anaknya maut selepas Toyota Vellfire yang dinaiki dirempuh sebuah pikap yang dipercayai melanggar lampu merah. (Gambar Facebook)

KUANTAN: Kegembiraan lima beranak menghadiri kenduri kahwin berakhir tragedi apabila empat maut selepas kenderaan dinaiki dirempuh sebuah pikap, yang dipercayai melanggar lampu merah di Kilometer 2 Jalan Lebu-Mempaga, Bentong.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Kamarulzaman Jusoh, berkata kejadian berlaku pada 3.10 petang tadi.

Mereka terbunuh ialah suri rumah, Raihan Mohamad, 43, dan tiga anaknya Ahda Dalili Mohd Nazri, 14; Ahmad Muaz, 7; dan Ahda Imtinan, 4; manakala suami Raihan, Mohd Nazri Hamid, 43, seorang guru cedera di tangan kiri.

“Mereka dipercayai dalam perjalanan dari rumah di Kuarters Guru Felda Aring 1 di Gua Musang, Kelantan menuju ke Kuala Lumpur dan apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan mangsa dipercayai telah membelok masuk ke simpang kanan selepas lampu isyarat bertukar hijau.

“Bagaimanapun, sebuah kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah tiba-tiba datang dari arah hadapan lalu merempuh kenderaan mangsa, menyebabkan Toyota Vellfire itu berpusing dan melanggar besi pembahagi jalan,” katanya menerusi kenyataan.

Kamarulzaman berkata, impak kemalangan menyebabkan kenderaan mangsa remuk teruk di bahagian hadapan dan sebelah kiri manakala pikap itu rosak di bahagian hadapan.

Pemandu Nissan Navara yang berusia 43 tahun dari Karak, Bentong cedera di kepala dan dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di Temerloh untuk rawatan.

Ujian awal saringan air kencingnya di Hospital Bentong mendapati dia positif dadah.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat selepas keputusan ujian saringan Covid-19 diperolehi. Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.