Thursday, February 3, 2022

Dilema pengundi Johor

 

Kita tidak memerlukan penganalisis politik hebat dari Harvard untuk menyatakan bahawa tindakan PKR menggunakan lambang sendiri, dan meninggalkan DAP-Amanah-UPKO terkapar-kapar bertiga dengan bendera Pakatan Harapan adalah satu tindakan yang boleh memakan diri. Dalam hal Johor, UPKO sesungguhnya tidak penting.

Setelah Pakatan Harapan (PH) kelihatan bersatu-padu sebagai sebuah gabungan, yang sempat dikemudi oleh Dr Mahathir Mohamad ketika PRU14, PH kini hanya dilihat sebagai sebuah gabungan yang mengelirukan. Siapa yang ‘ya’ dan siapa yang ‘tidak’ dalam kancah? Mengapa berdiri sendiri-sendiri, padahal tinggal serumah? Hal ini menurut kaca mata pengundi, terlihat sama keadaannya dengan Perikatan Nasional/Muafakat Nasional yang juga tidak ketahuan siapa ahli benar atau ahli palsunya.

Untuk pengundi yang kurang celik politik (baca: senang disogok), hal ini boleh dijadahkan oleh musuh Pakatan Harapan sebagai kekalutan, bahkan kekarutan. Pengundi termakan sogok ini akan termakan bahawa ‘pembangkang’ tidak bersatu padu.

Lebih menakutkan lagi strategi tengik ini sangat mencemaskan kerana Johor bukanlah sebuah negeri yang boleh digunakan sebagai medan uji. Johor bukan Selangor. PKR tiada kekuatan khas di sini. Bukan itu sahaja, menguji medan yang bukan medannya adalah satu strategi tempur yang cuai. Ini boleh ditanya kepada mana-mana jeneral dan panglima sekalipun. Tambahan pula medan ujian itu setelah Pilihan Raya Negeri Sabah, Melaka, dan Sarawak menunjukkan isyarat api yang lemah.

Pengundi Johor juga sedar dan begitu arif sekali bahawa gabungan Barisan Nasional dengan Umno sebagai tunggak adalah gabungan yang tidak boleh dipakai sama sekali kerana dosa-dosa menganiayai rakyat dengan siri rasuah, korupsi, dan penyelewengan yang menginjak-injakkan jasad rakyat. Untuk pengundi yang berfikir sehala, mereka akan memilih Umno dengan alasan ‘dapat duit’, atau ‘dia baik dan balik kawasan’.

Pengundi seperti ini sangat ramai di mana-mana, dan jumlah mereka yang sedikit secara total tidak dapat mengatasi undi popular dek sistem pilihan raya kita yang pincang. Hal ini misalnya dapat dilihat di Melaka baru-baru ini.

Berdasarkan statistik undi, BN meraih 38.39% (122,741) undi popular manakala PH dan PN masing-masing meraih 35.65% (113,968 undi) dan 24.47% (78,220 undi). Ini bermakna BN secara total tidak popular berbanding gabungan lain. Hal ini boleh berlaku sekali lagi di Johor.

Untuk pengundi yang benar-benar berkeinginan kepada perubahan dan sudah muak dengan permainan kuasawan di Johor, mereka sedang menimbang-nimbang. Umno bukanlah pilihan yang tepat. Umno sudah rosak, dan Umno diketahui korup. Pemimpinnya sudah didapati bersalah di mahkamah, dan ada yang terpaksa mempertahankan diri. Pilihan raya dilihat sebagai satu jalan untuk menyelamatkan diri.

Pengundi Johor yang bijak berdepan dengan dilema.

Memilih PH terlihat tidak meyakinkan (kerana PKR nampaknya tidak mengenal budi yang lain), sedangkan memilih gabungan BN adalah malapetaka. Ia seumpama menimbang blok bodoh dengan blok jahat. Ada yang akan berhujah bahawa orang bodoh boleh menjadi pandai, manakala orang jahat boleh sahaja menjadi baik. Tetapi ramai pula yang terlupa, orang jahat boleh membodohkan orang bodoh, atau orang bodoh akan membiarkan kejahatan sang jahat.

PN pula sedang mengalami kebinasaan secara perlahan. Ia membusuk dan membusuk kerana pengkhianatan pemimpinnya terhadap PH, dan penyelewengan demokrasi nyata yang ia lakukan dengan Langkah Sheraton. PAS pula tidak signifikan. Bahkan PAS terlihat seperti gagau, sekejap menangis mendambakan ukhuwah Islamiyah (maka berkendak dengan Umno) dan sekejap lain mengitik dibelit ular (apabila melatam Umno). PAS terlihat tiada maruah.

Justeru semua gabungan yang ada kurang menjanjikan.

Akan tetapi terdapat satu pilihan lain yang mungkin boleh memecahkan kebuntuan. Pilihan itu tidak ada ketika PRN Sabah dan Melaka. Pilihan yang saya maksudkan adalah blok ketiga. Yang lain dari PH dan PN/BN. Pilihan itu belum ada namanya.

Secara teknikalnya, Pejuang, sebuah parti kecil yang muncul dari kejernihan usaha membanteras korupsi (dari Umno justeru menjadi Bersatu), dan kewarasan mahu bebas dari khianat (dari Bersatu justeru menjadi Pejuang) akan bertanding di Johor lantas ingin memberi saingan sihat kepada pilihan-pilihan basi yang ada.

Pejuang berhasrat untuk bertanding di semua kawasan yang majoritinya Melayu. Melayu yang tidak bodoh dan tidak jahat semacam ada pilihan.

Kita belum mengetahui kekuatan sebenar Pejuang. Kita hanya mengetahui yang ahli Pejuang ada ramai di Johor. Ahli-ahli ini seperti tulis saya di atas terhasil oleh muak korupsi (mereka dari Umno menjadi Bersatu) dan oleh benci pengkhianatan (dari Bersatu mereka menjadi Pejuang). Barangkali kerana masih baharu dan belum cukup dikenal, mereka hanya akan beroleh beberapa kerusi sahaja. Jika itu berlaku selepas PRN Johor kelak, mereka akan berpeluang menjadi penentu.

Pejuang mungkin dapat kekuatan lain iaitu dari MUDA, sebuah parti yang juga masih baru dan disebut-sebut. Untuk pengundi muda yang tidak terbaham oleh duit minyak motorsikal atau bot, mereka tentu menimbang menyerahkan pertimbangan kepada seorang pemimpin muda. Justeru, calon-calon MUDA juga berpeluang.

Rekod baik Syed Saddiq di Muar (meskipun ada dakwaan sebaliknya) akan menjadi petunjuk yang menarik. MUDA juga berbilang kaum dan boleh memberikan tawaran yang berkesan memandangkan BN dan PH kurang menjanjikan dari aspek itu.

Jika Pejuang dan MUDA mencuri undi, dan menghulurkan tangan kepada DAP dan Amanah, satu koalisi yang menarik mungkin terhasil. Koalisi ini tanpa PKR yang tersemat citra angkuh dan UMNO yang terlekat imej korup. Tawaran ini mungkin dapat ditimbangkan pengundi Johor yang tercari-cari solusi dan penawar.

Pejuang dan MUDA juga mempunyai satu aura iaitu aura tidak tunduk sesuka hati kepada feudalisme. Entah betul entah tidak, ia adalah khabar angin positif untuk mereka. Hal ini sangat penting disorot memandangkan pengundi Johor juga muak dengan permainan kuasawan sebagai tangan ghaib di belakang. Masyarakat bisnes Johor mungkin memberi isyarat yang kuat kepada pengundi berkaitan aspek ini.

Senario Pejuang-MUDA-DAP-Amanah mentadbir Johor ini boleh berlaku dengan syarat Amanah sanggup mengalah dan menyerah beberapa tempat yang cukup-cukup makan ketika PRU14 lalu, dan DAP menyerah juga kepada MUDA di kawasan-kawasan yang mengisyaratkan kemarahan pengundi Tionghua. Ini adalah halangan yang sukar kerana tentu sahaja masing-masing mengimpikan kubu yang lebih, dan mengkhayalkan diri berkuasa. Mengalah untuk menang bukan kebiasaan di sini. Tapi ya siapa tahu, DAP dan Amanah merela hati, berfikir deras maka tidak mahu menjadi seperti PKR yang sombong.

Halangan seterusnya untuk membenamkan Umno yang dikenal korup ialah, mungkin sahaja kecanduan PKR dengan dirinya sendiri itu akan ikut membenamkan orang lain. Ini kerana senario Melaka akan berlaku sekali lagi. Iaitu koruptor menjadi juara dicelah pertelingkahan orang bodoh. Maka yang untung ialah sang koruptor yang akan berpesta jimba keseronokan berada bawah naungan feudalisme.

Inilah dilema sukar Johor dalam PRN kelak. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.