Tuesday, February 1, 2022

Maka berbicaralah sang haiwan

 

Khinzir masuk dengan senyum lebar ke Kafe Rumput-rumput, tempat biasa dia lepak dengan kawan-kawan. “Khinzir” nama glamour dia. Bukan dia yang pilih pun. Nama tu diberi kepadanya oleh orang-orang yang geli kat dia. Nama asal dia “Babi”.

Belum sempat kawan-kawan tanya mengapa dia gembira sangat, Babi, maaf Khinzir terus cerita, “kau orang tak tengok berita ke? Jantung aku boleh digunakan oleh manusia. Boleh ‘heart transplant’. Orang sakit jantung boleh diselamat dengan guna jantung aku.”

Tiba-tiba dia sugul. “Kenapa ‘bro’?” tanya Monyet. “Ini boleh bermakna manusia akan bunuh aku dan family untuk dapatkan jantung kami,” jawab Khinzir. “Ini keadaan bahaya,” katanya lagi. Serta-merta dia sedih dalam kegembiraan, takut dalam kebanggaan. Dia buntu tak tau nak buat apa.

“Elok kau jumpa Sang Singa, dengar apa dia kata. Kan dia Raja Rimba?” nasihat si Monyet.

Kancil terus menyampuk: “Helo kawan, hutan sini mana ada Singa. Ini bukan Afrika, sama macam Penguin! Mana ada kat negara kita.”

Tapi kata si Monyet, “aku dengar manusia cakap ada. Baru-baru ini dia kata ada ‘Lion’ di sini. ‘Lion’ tu Singa kan? Aku dengar juga ada manusia kata daging Penguin halal. Boleh dimakan. Mujur Penguin takde kat sini. Kalau ada siap kau, mesti kena sembelih.”

“Aah dia tahu apa,” kata Kancil. “Maksud aku dia yang kata Singa ada di sini, dia tak berapa cerdik,” katanya lagi.

“Tapi,” kata Monyet, “manusia itu orang hebat, pangkat besar jawatan tinggi.”

“Alaa dia tu macam aku dan teman-teman aku lah,” kata si Katak.

Ketika Khinzir termenung mengenang nasibnya, Katak nampak macam satu macam punya gembira. “Kenapa gembira sangat ni,” tanya sepupu Monyet, si Kera.

“Ini musim kami. Musim kami bertenaga, lompat-lompat. Macam 2020,” jawab Katak bangga dan riang.

Si Anjing pula menyalak potong stim: “hei aku dengar ada usaha manusia nak hapuskan katak. Awas.”

Katak tak terkesan. “Tak risau. Cakap je tu. Mereka boleh cuba tapi tak kan berjaya. Kami tolong manusia tau? Kami lah beri mereka peluang berkuasa. Aku baru baca laporan menurut saintis Amerika kaki katak dipotong boleh tumbuh semula lepas rawatan dengan lima jenis dadah.

“Patah tumbuh hilang berganti gamaknya, tumbuh kaki baru boleh terus melompat dengan kuat, lebih jauh,” kata Katak sambil ketawa berdekah-dekah.

“Hebat lah kau katak. Nampak gaya kau akan terus bermaharajalela. Tetap ada ‘demand’,” kata Orang Utan yang nampak sugul sikit.

“Kenapa kau macam ‘down’ je. Kau tak ‘happy’ aku ‘happy’ ke”? Tanya Katak kepada Orang Utan.

“Begini. Aku kecik hati lah,” kata Orang Utan. “Ada ke manusia kata aku bunuh mereka sebelum dia orang sempat nak bunuh aku. Aku tak pernah bunuh manusia tau. Manusia yang selalu aniaya aku dan keluarga.

“Rileks ‘brother’. Dia dah kata dia gurau je,” kata Kucing mententeramkan si Orang Utan.

“Ye lah…kalau nak joke pun, carilah benda lain. Why use me as bahan?” tanya si Orang Utan yang jelas masih bengang.

Semua senyap.

Tiba-tiba Itik memecah kesepian. “Aku pun kecik hati dan bengang. Ada manusia tuduh aku tak kenang budi. Korang ingat kan empat tahun lalu? Aku patah kaki masa berlumba dulu. Ingatkan? Manusia tu kata dia rawat aku dan bila aku dah OK aku nak ‘blah’ tinggalkan dia. Suka hati akulah.

“Mestilah ada sebab aku nak berenang sendiri. Menyampah betul aku dengan manusia ni.”

“Tapi ada manusia yang OK bro,” kata Ayam. “Tengok ni kat FB. Ada manusia budiman buat ‘posting’.”

Semua yang hadir pergi ke Ayam tengok telefon pintar dia untuk baca hantaran manusia budiman di Facebook.

Hantaran ditulis begini: “Menolong haiwan kenalah ikhlas. Tak usahlah meminta balasan atau diungkit-ungkit. Tidak kiralah haiwan itu kucing ke, penguin ke, atau itik sekali pun.”

“Betul! Betul!” kata semua yang baca.

“Ah lagi pun, aku sembuh bukan pasal ubat manusia itu mujarab sangat,” kata si Itik – nyata berpuas hati.

“Hei ada lagi dalam Facebook.” Kali ini kata si Beruang. “Biar kau baca. Katanya: ‘Padan muka. Itik dah boleh berenang sendiri. Kaki dah baik. Tu lah dah pilih bunga pergilah pada bunga. Kenapa nak balik pada itik. Sebab bunga dah patah tangkai.’

“Ni manusia budiman tu yang tulis juga,” kata Beruang. “Aku tak faham,” kata Ular dan Kenari. “Aku faham,” kata Itik. “Takpe lah kita ‘move on’,” katanya.

“Ya, tapi aku pun ada ‘problem’,” sampuk sang Harimau.

“Ada manusia kata pemusnahan tempat tinggal aku elok untuk aku dan sanak saudara aku. Dia kata pembalakan bagus untuk aku dan keluarga. Eh apa da? Elok untuk manusia tak elok untuk aku. Kalau tempat tinggal kau musnah kau nak pergi mana? Mestilah kau cari tempat lain. Manusia pun kalau tempat kediaman hilang mereka akan pindah. Betul tak?” kata Pak Belang.

“Paling sedih dan menakutkan ialah kami semakin hilang semakin pupus. Kat sini pun kami dah tak banyak,” kata Sang Harimau.

“Tenang, tenang,” kata Sang Kancil. “Kuatkan semangat ‘brother’ Belang. Tahun Baru Cina ini tahun kamu. Tahun Harimau.”

“Ya benar,” kata Sang Harimau. “Cuma aku mahu manusia hormat lah aku. Perisai dalam Jata Negara disokong oleh kami tau. Itu simbol kami jaga negara ni. Gambar kami digunakan sebagai lambang negara, lambang bank. Kami juga kerap jadi mascot pasukan sukan kebangsaan. Macam-macam lagi.

“Kami dikaitkan dengan kehebatan, kegarangan, keperkasaan, kekuatan. Manusia kata negara nak jadi ‘Asian Tiger’. Maka hormatlah kami. Contohi ciri-ciri kami.”

Sang Harimau mengaum menggegarkan Rimba. “Aku akan terus mengaum. Tahun ini tahun aku.”

Gong Xi Fa Cai - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.