SEREMBAN: Tiga lelaki menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya dengan bersaing sesama sendiri dan melakukan aksi “Superman” ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Pengkuatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan Shafiei Muhammad, berkata operasi yang bermula 4 petang itu menumpukan penunggang motosikal sempena cuti sambutan Tahun Baharu Cina.
“Hasil daripada operasi ini, tiga individu berusia lingkungan 20-an bersama tiga motosikal yang ditunggang, ditahan kerana melakukan kesalahan memandu secara melulu, berbahaya dan bersaing sesama sendiri,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Shafiei berkata, kesalahan dikesan dilakukan bermula dari kilometer 15.2 hingga 19 dari arah Port Dickson menghala ke arah Plaza Tol SPDH.
Beliau berkata, dua lelaki yang bekerja dalam sektor swasta berjaya ditahan bersama motosikal masing-masing selepas melakukan aksi bersaing sesama sendiri dengan menundukkan badan.
“Seorang lagi lelaki yang bekerja sebagai mekanik ditahan bersama sebuah motosikal yang ditunggang selepas melakukan aksi Superman dengan cara meniarap di atas tempat duduk,” katanya.
Shafiei berkata, semua individu yang ditahan dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Port Dickson untuk tindakan lanjut.
“Ketiga-tiga mereka akan direman dan akan dituduh mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mana jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000.
“Mereka juga boleh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.