Friday, February 4, 2022

Polis siasat dakwaan Timbalan Pengarah SPRM

 

Timbalan Pengarah SPRM Wan Shaharuddin Wan Ladin menafikan telah memaksa seorang pegawai imigresen mengaku bersalah terhadap beberapa pertuduhan rasuah.

PETALING JAYA: Polis sedang menyiasat laporan dibuat seorang Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menafikan telah memaksa seorang pegawai imigresen supaya mengaku bersalah atas beberapa pertuduhan rasuah.

Wan Shaharuddin Wan Ladin yang juga Timbalan Pendakwa Raya di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, berkata laporan itu dibuat bulan lalu selepas terbaca dakwaan yang dibuat oleh pemberi maklumat di akaun Twitter Edisi Khas.

Dalam laporan awal dibuat oleh pegawai imigresen yang dimuat naik di Edisi Khas, katanya dia mohon dibicarakan terhadap tiga pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana menyalah guna jawatan sebagai penjawat awam untuk kepentingan peribadi.

Pegawai itu berkata dia didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Mohd Suhaimi Ali memberitahu FMT bahawa polis telah merekodkan keterangan daripada beberapa saksi berhubung laporan dibuat Wan Shaharuddin.

“Apa yang boleh saya katakan ialah perkara itu masih disiasat. Pada masa yang sama, kita masih menunggu laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya.

Katanya, kes itu telah disiasat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan merujuk kepada kenyataan dengan niat hendak menyebabkan ketakutan kepada orang awam manakala Seksyen 233 pula ialah kerana menyalahgunakan kemudahan atau perkhidmatan rangkaian. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.