Thursday, March 3, 2022

Ban pecah di Taman Sri Muda, kerja pembaikan dijalankan

 

Tiada limpahan air ke kawasan kediaman penduduk, selain lima bot digerakkan ke lokasi kejadian sebagai langkah berjaga-jaga, menurut bomba.

SHAH ALAM: Sebuah ban berhampiran pintu kunci air di Taman Sri Muda, Seksyen 25 pecah dipercayai akibat hujan lebat di kawasan tersebut petang semalam.

Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian daripada penduduk pada 8.15 malam sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam tiba di lokasi 14 minit kemudian.

“Keadaan di lokasi terkawal. Kerja pembaikan sedang dilakukan Jabatan Pengairan dan Saliran,” katanya dalam kenyataan.

Norazam berkata pihaknya turut menggerakkan lima bot ke lokasi kejadian sebagai langkah berjaga-jaga.

“Bomba akan terus berada di lokasi sehingga air pasang pada 12 tengah malam untuk memantau paras air. Setakat ini tiada limpahan air ke kawasan kediaman penduduk,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.