Thursday, March 31, 2022

Bella dedah diikat, dicili, dijirus air panas, kata saksi

 

Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali (kiri) tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi menghadiri perbicaraan hari pertama pertuduhan yang dihadapinya membabitkan pengabaian dan menganiaya seorang remaja sindrom Down. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Saksi pendakwaan pertama yang juga rakan baik kepada pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, remaja sindrom Down yang dikenali sebagai Bella mendedahkan dia dicili, dijirus dengan air panas dan diikat.

Zurianty Sudin, 39, berkata Bella memaklumkan kejadian itu ketika mereka menaiki ambulans untuk dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan remaja berkenaan dilihat dalam keadaan trauma.

“Semasa berada dalam ambulans ke HKL, saya bertanya kepada Bella apa yang terjadi. Bella yang memanggil saya ‘mommy’ mengatakan dia dicili, dijirus dengan air panas dan diikat,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas dalam perbicaraan kes Siti Bainun yang didakwa mengabai dan menganiaya remaja itu.

Menurut laporan Bernama, pembantu pengurus syarikat swasta itu yang mengenali Siti Bainun sejak 2015 berkata, sebaik tiba di hospital, remaja itu dilihat tidak mampu berjalan dengan baik dan sukar bergerak kerana kakinya sakit.

“Saya nampak Bella macam tidak larat dan dia kata kakinya sakit, tapi saya tak boleh pegang sebab saya bimbang Bella mungkin dijangkiti Covid-19. Bella juga merujuk nama beberapa individu yang melakukan perbuatan itu terhadapnya,” katanya yang dilihat sebak semasa memberi keterangan.

Zuriaty berkata, semasa berada di HKL, Siti Bainun tidak pernah bertanyakan keadaan Bella, sebaliknya mempersoalkan mengapa anak di bawah jagaannya dibawa ke pusat kuarantin di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

Katanya, Bella adalah orang kurang upaya (OKU) yang diambil rakannya untuk dijadikan anak angkat pada Julai 2020 dan sejak itu, Bella tinggal bersama Siti Bainun dan di bawah tanggungjawab wanita berkenaan.

Terdahulu, ketika membacakan laporan polis yang dibuatnya pada 24 Jun 2021, Zuriaty berkata, remaja itu mengalami kecederaan seperti melecur di bahagian tangan, dada, paha dan beberapa bahagian lain serta kesan luka lama di tubuh badannya.

Ketika ditanya Zilfinaz, saksi itu menjelaskan laporan polis itu dibuat berhubung kecederaan dan penderaan yang pada tubuh badan remaja perempuan itu.

Memberikan gambaran terperinci berkaitan Bella, saksi itu berkata, meskipun Bella remaja sindrom Down, beliau seorang yang sangat manja, rajin, baik dan berdikari serta boleh menguruskan diri seperti solat dan sangat pembersih.

Mengenai hubungan Siti Bainun dan remaja itu, Zuriaty memberitahu pada mulanya hubungan mereka sangat baik apabila Siti Bainun dilihat sangat sayang kepada Bella dan sentiasa cuba mengambil hati remaja itu dengan membeli barang yang Bella suka.

“Bella suka mekap, bekas air kerana Bella suka minum air dan baju baharu, namun pada Ogos 2020, saya mula lihat mereka tidak berapa mesra, selepas Siti Bainun enggan membawa Bella berjalan ke Kuala Selangor untuk ke rumah abang ipar Siti Bainun,” kata saksi itu.

Zuriaty berkata, disebabkan keengganan Siti Bainun membawa Bella, beliau ada bertanyakan Siti Bainun mengapa dia bertindak sedemikian dan Siti Bainun memberitahu dia enggan membawa Bella kerana remaja itu suka buat perangai dan degil.

Saksi itu menjelaskan beliau membawa Bella menaiki keretanya ke Kuala Selangor, selepas Siti Bainun enggan membawa remaja itu bersamanya.

“Sepanjang berada di sana (Kuala Selangor), Siti Bainun tidak mengendahkan Bella dan tidak bertanya sama ada remaja itu sudah makan atau tidak. Pemerhatian saya mendapati Bella tidak buat perangai dan tidak degil, malah jika dia hendak minum air, dia akan mengambilnya sendiri,” katanya sambil memaklumkan beliau turut berada di Kuala Selangor bersama Siti Bainun pada hari berkenaan.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung esok. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.