Thursday, March 3, 2022

Menangani tuntutan Sulu, sisi antropologi

 

Satu kegagalan teruk pentadbiran Najib Razak (selain 1MDB) ialah mengenteng atau meremehkan peristiwa pencerobohan di Lahad Datu dan Semporna, Sabah oleh tentera Kesultanan Sulu pada bulan Februari- Mac 2013. Najib dan pasukannya gagal dahsyat dalam memberikan penyelesaian yang bermakna di kesempatan itu yang membawa kita kepada tuntutan USD14.92 bilion (RM62.59 bilion) oleh waris Sultan Sulu terhadap kerajaan.

Kegagalan ini akan semakin buruk kerana waris kerajaan Malaysia sekarang terdiri daripada mereka yang cuai, tidak bertanggungjawab, tempias korup, dan terdiri daripada pengkhianat. Kerajaan Malaysia malah menyatakan tidak akan mengiktiraf tuntutan pihak yang mendakwa sebagai pewaris Sultan Jamalul Kiram II menerusi prosiding timbang tara antarabangsa di Perancis itu.

Konflik dengan Kesultanan Sulu sesuatu yang tidak sederhana. Apa yang jelas salah satu punca konflik ini sukar diurus dan dikawal selia kerana struktur politik dan pentadbiran Kesultanan Sulu ini sama sekali tidak berpusat. Dalam erti kata lain hak, tanggungjawab serta kuasa menurut Kesultanan Sulu diagih-agihkan ke pelbagai tahap mengikut format sistem politik tradisional. Hak-hak pentadbiran dan kuasa menurut ‘kesultanan Sulu’ diagihkan secara tidak terhad kepada peringkat masyarakat yang berada di bawah. Hal ini membawa kepada kesukaran untuk menganjurkan satu perbincangan atau dialog bagi tujuan menamatkan krisis.

Bahkan bangsa Taosug adalah bangsa dengan sistem politik ‘dyad’. Ia sistem politik yang berfungsi dalam bentuk unit sepasang. Saya pernah menulis pada 2013 sebaik serangan Sulu ke atas beberapa tempat di Sabah bahawa persengketaan 2013 tersebut tidak akan berakhir dengan mudah, atau singkat; ini kerana struktur kuasa bangsa Taosug menghubungkan kepatuhan kepada pemimpin dalam bentuk kumpulan yang sangat kecil. Kumpulan yang sangat kecil atau ‘super individu’ ini akan membentuk pasangan-pasangan lain yang kemudian membentuk jemaah yang lebih besar.

Sistem ‘dyad’ dalam komuniti Taosug membolehkan persefahaman dan pengiktirafan sesama kumpulan-kumpulan kecil ini, akan tetapi persefahaman dan pengiktirafan dalam sistem ‘dyad’ tidak bermaksud setiap unit atau pusingan mempunyai hak yang sama. Dalam erti kata lain ‘mutual’ tidak bermakna ‘equal’.

Harus diingatkan Agbimuddin Kiram iaitu saudara terdekat Jamalul Kiram III yang mengetuai pasukan penceroboh di Lahad Datu pada Februari-Mac 2013 adalah bekas penolong pegawai daerah di Kudat ketika Tun Mustapha Harun menjawat kedudukan Ketua Menteri Sabah. Carian terhadap ‘Senarai Kakitangan 1975’ di Jabatan Arkib Negara Sabah, mengesahkan Agbimudin adalah Pegawai Pentadbir Muda di Pejabat Daerah Kudat. Beliau dilantik pada 1 Mac 1974 dengan gaji sebanyak RM610 sebulan.

Ini menunjukkan akar konflik ini telah lama tersemai dan tidak pernah diberi perhatian oleh pihak berwajib. Bahkan terdapat laporan dari Filipina bahawa pelan segelintir pengikut Kesultanan Sulu untuk menceroboh Malaysia telah pun dibincangkan sejak Ogos 2012. Bekas Ketua Polis Lahad Datu, Kamis Daming, dalam satu laporan akhbar berpusat di Malaysia Timur iaitu Daily Express telah menegaskan bahawa beliau pernah menyuarakan kepada pihak atasan di Kuala Lumpur yang Lahad Datu sememangnya berpotensi untuk dicerobohi dan menjadi medan konflik.

Dalam tulisan saya pada 2013 itu dengan tajuk ‘Konflik Malaysia-Kesultanan Sulu: The Tertius Gaudens dan Hak-Hak Pihak dalam Pertikaian’, saya telah menyarankan solusi dari kaca mata antropologi-sosiologi.

Saya berpandangan Malaysia tidak wajar membodohkan serangan segelintir puak Sulu pada 2013 itu dan seharusnya tidak mengabaikan pula tuntutan berbilion dollar mereka kali ini. Malaysia mesti menggunakan saluran ‘dyad’ atau pasangan-pasangan kecil yang bertebaran dalam bentuk ‘pasangan rakyat atau pengikut’ Kesultanan Sulu yang aktif dalam masyarakat Sabah selama ini.

Sekiranya pihak berkuasa Malaysia memahami sistem ‘dyad’ ini dengan bersungguh-sungguh, solusi ‘the Tertius Gaudens’ boleh digunakan. Penyelesaian dengan formula “the Tertius Gaudens” ini ialah dengan merundingi atau memanipulasi pihak ketiga dalam sistem yang sama (sebagai contoh pihak ketiga dalam kalangan ‘Datu’) yang “non-partisan” dan berani bertindak sebagai “mediator”. Pihak ketiga ini, “the Tertius Gaudens” (atau maksudnya, pihak ketiga yang menuai laba) berperanan sebagai broker dan boleh dijanjikan keuntungan tertentu. “Zweierverbindung” atau penggemblengan secara pasangan adalah unit super individu yang kompleks dalam sistem ‘dyad’. Kemasukan pihak ketiga bertujuan untuk ‘mengubah’ rentak penggemblengan unit pasangan atau ‘dyad’ ini.

Formulasi “the Tertius Gaudens” dengan itu akan membawa kepada “Hipotesis Seimbang”. Pendekatan ini diperkenalkan oleh Fritz Heider pada 1946 dalam artikel kanunnya “Attitudes and cognitive organization”. Heider menganjurkan keberadaan tiga entiti untuk mengimbangi keadaan. Sama ada ketiga-tiganya membawa unsur positif; atau dua entiti memilih unsur negatif sementara satu memilih unsur positif, keseimbangan akan tetap dapat dicapai.

Dalam hal ini, entiti ketiga yang dapat disertakan dalam dialog untuk mencapai keseimbangan adalah Majlis Diraja Sulu atau “Council of Royal Datus”. Himpunan ‘Datu’ ini tidak saling mematuhi dan tidak pula saling mengingkari. Tambahan pula “Council of Royal Datus” mengandungi lebih dari satu keluarga, yang terbentuk dari hubungan ‘inter-dyad’:

Majlis Raja-Raja Sulu dengan Majlis Diraja Sulu atau “Council of Royal Datus” sangat jelas. Majlis Raja-Raja Sulu adalah perhimpunan semua raja-raja atau sultan-sultan yang sedang memerintah, Majlis Diraja Sulu pula adalah perhimpunan satu-satu keluarga kerabat Diraja Kesultanan Sulu seperti Kiram, Shakirullah, Harun Al-Rashid, dan Aranan.

Adalah pasti, salah satu keluarga kerabat Diraja Kesultanan Sulu, dalam hal ini keluarga Aranan (atau lain-lain) akan beroleh ‘darjat’ atau dijanjikan ‘kepentingan’ menerusi formula “the Tertius Gaudens”. Penambahan pihak ketiga akan memberi perbezaan kualitatif yang merubah alamiah sistem ‘dyad’.

Formula di atas dapat menatijahkan Hipotesis Seimbang lantas membawa kepada imbangan kestabilan antara keluarga ‘Sultan Kiram’, Filipina, dan negara Malaysia. Harus diingat hak terhadap Kesultanan Sulu dituntut oleh sembilan pihak, Malaysia masih boleh memilih jalan dialog dengan formula di atas.

Malaysia tidak wajar sekali lagi mengabaikan Kesultanan Sulu. Cegah sebelum parah. Pun kita semua tahu pentadbiran Barisan Nasional-Perikatan Nasional yang memang langsung tidak cekap, tempias korupsi, dan penuh pengkhianatan ini tidak bersedia, tidak cekatan, dan tidak mampu untuk menyelesaikan isu lama ini. Mereka malah gagal untuk merdeka dari rasuah dan watak-watak penyangak penyamun 1MDB.

Siapa tahu di sinilah kepimpinan parti Warisan di bawah Shafie Apdal dapat menyelamatkan Malaysia dari terus terjerumus ke jurang dalam. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.