Wednesday, March 2, 2022

Pertemuan Hadi-wakil Taliban tak bermakna Malaysia iktiraf kerajaan sementara Afghanistan, kata menteri

 

Abdul Hadi Awang bertemu wakil tetap Taliban di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Mohammed Suhail Shaheen di Doha, Qatar, awal tahun ini. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pertemuan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah Abdul Hadi Awang dengan wakil tetap Taliban di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Mohammed Suhail Shaheen di Doha, Qatar, awal tahun ini tidak bermakna Malaysia mengiktiraf kerajaan sementara Afghanistan yang ditadbir kumpulan itu.

Dalam jawapan bertulis kepada Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu), Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata, Malaysia pada dasarnya telah memulakan libat urus secara tidak formal dengan pemegang taruh di Afghanistan seperti dilakukan oleh sebilangan negara lain.

Katanya, lawatan kerja Hadi itu bertujuan mengukuhkan lagi peranan Malaysia dalam mencari jalan penyelesaian terbaik tberhubung isu Afghanistan, khususnya melibatkan situasi kemanusiaan dan ekonomi yang semakin meruncing.

“Lawatan kerja beliau dari 31 Jan hingga 4 Feb telah dipersetujui Perdana Menteri (Ismail Sabri Yaakob) pada 28 Jan.

“Sebagai utusan khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, selain memastikan kepentingan strategik Malaysia dengan negara di Timur Tengah terus terpelihara, beliau (Hadi) juga berperanan dalam mengukuhkan lagi hubungan dengan beberapa negara lain termasuk Afghanistan,” katanya.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, selepas enam bulan Afghanistan berada bawah kepimpinan Taliban, Malaysia berpendirian akan terus memantau perkembangan negara itu.

Katanya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia sudah berada di Kabul dan beberapa wilayah lain di Afghanistan sejak pengunduran Amerika Syarikat dan sekutunya pada 31 Ogos tahun lalu.

“Malaysia sedia bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk pembangunan semula Afghanistan apabila situasi dan keadaan di negara itu mengizinkan.

“Pada masa sama, Malaysia menggalakkan sektor swasta negara untuk meninjau peluang pelaburan dan perdagangan di Afghanistan seperti infrastruktur, perlombongan, pertanian, telekomunikasi dan perbankan Islam,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub mengkritik tindakan Hadi mengadakan pertemuan dengan wakil Afghanistan yang disifatkannya sebagai terburu-buru dan mendahului Kabinet.

“Nampaknya Abdul Hadi telah terburu-buru melebihi kuasanya sebelum keputusan Kabinet bertindak sedemikian,” katanya dalam kenyataan.

Salahuddin yang juga pengerusi Biro Antarabangsa Amanah mempersoalkan keputusan Hadi memberi perhatian kepada keperluan di Afghanistan yang tidak berada di Timur Tengah. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.