Tuesday, March 29, 2022

Prasarana siasat video kakitangannya pukul orang awam

 

Prasarana memandang serius dakwaan bahawa si pemukul adalah kakitangan Prasarana berdasarkan pakaian seragam yang dipakai di dalam video berkenaan.

PETALING JAYA: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menjalankan siasatan serta-merta terhadap video tular membabitkan kakitangannya yang memukul orang awam, di sebuah kedai serbaneka seperti tular di media sosial.

“Kami memandang serius dakwaan bahawa si pemukul adalah kakitangan Prasarana berdasarkan pakaian seragam yang dipakai di dalam video berkenaan.

“Dipercayai kejadian berlaku apabila mangsa ditangkap dan dituduh mengambil makanan tanpa membayar di kedai serbaneka itu,” kata Prasarana dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tingkah laku si pemukul adalah bertentangan dengan kod etika kerja Prasarana.

Jelasnya lagi, dalam apa jua situasi, sekiranya memerlukan bantuan lanjut, ia sepatutnya dipanjangkan kepada pihak berkuasa.

Prasarana menyeru orang awam yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat lanjut berkenaan kejadian tersebut supaya menghubungi talian 03-7885 2585 atau emel ke suggest@rapidkl.com.my.

“Prasarana turut memohon maaf di atas kejadian ini dan menjamin tindakan susulan yang bersesuaian akan diambil bagi memastikan perkara sebegini tidak berulang pada masa hadapan,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.