Saturday, April 2, 2022

Wanita ditahan kes dera kanak-kanak tadika di Muar

 

Suspek berusia lewat 50-an ditahan reman selama enam hari bermula 2 Apr hingga 7 Apr untuk siasatan, menurut polis. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan kes penderaan kanak-kanak di sebuah tadika di Muar yang dipercayai bermula sejak Nov tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Shahurinain Jais berkata kejadian berlaku di sebuah tadika swasta melibatkan guru yang didakwa bertindak kasar dengan mendera empat kanak-kanak lelaki berusia lingkungan umur 3 hingga 5 tahun.

“Siasatan awal pihak polis mendapati pada 31 Mac, salah seorang ibu kepada mangsa telah menerima rakaman video berkaitan anaknya telah didera oleh guru berkaitan.

“Kejadian disyaki berlarutan semenjak November 2021. Kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk pemeriksaan perubatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Shahurinain berkata suspek berusia lewat 50an ditahan reman selama enam hari bermula 2 Apr hingga 7 Apr untuk siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, jika sabit kesalahan hukuman boleh dikenakan adalah boleh didenda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya,” katanya.- FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.