Tuesday, May 24, 2022

Bekas diplomat ditahan, miliki ladang hampir 100 pokok ganja

 

Kes ini dianggap rampasan pokok ganja terbesar dalam sejarah narkotik negara kerana kebanyakan rampasan sebelum ini hanya membabitkan pokok ganja yang ditanam dalam pasu. (Gambar AP)

PETALING JAYA: Seorang bekas diplomat negara berpangkat “Datuk” ditahan kerana disyaki menanam dan memiliki ladang pokok ganja dengan hampir 100 batang pokok terlarang itu.

Kes itu dianggap rampasan pokok ganja terbesar dalam sejarah narkotik negara kerana kebanyakan rampasan sebelum ini hanya membabitkan pokok ganja yang ditanam dalam pasu.

Harian Metro memetik sumber sebagai berkata, kejayaan itu hasil usaha Balai Polis Bukit Tinggi dan Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong melalui serbuan Ops Tapis di kediaman suspek di Janda Baik, Pahang.

Katanya, serbuan dilakukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) sekitar 6 petang kelmarin.

“Difahamkan, polis menahan lelaki warga emas terbabit sebelum menemui deretan beberapa batas tanah yang dipercayai digunakan untuk menanam pokok ganja.

“Turut ditemui deretan pokok ganja yang ditanam di sekeliling kediaman itu. Pemeriksaan lanjut polis menemui bekas berisi cecair dipercayai minyak ganja, selain daun ganja yang sudah dikeringkan.

“Suspek dipercayai menanam pokok ganja itu secara serius, susulan penemuan bekas plastik semaian di lokasi diserbu.”

Sumber itu berkata, polis masih menyiasat bagaimana suspek memperoleh benih pokok ganja itu dan tujuan ia ditanam secara besar-besaran.

Polis sudah mendapat perintah reman ke atas suspek sehingga 28 Mei ini.

Difahamkan, suspek yang pernah berkhidmat di kedutaan Malaysia di Asia Tenggara dan Timur Tengah itu disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 6B dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.