Sunday, May 1, 2022

Berapa kali ‘TETAPI’ daa

 

Hari ini 1 Mei 2022 protokol Covid-19 baharu dilaksanakan. Begitu menurut Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya dan juga Khairy Jamaluddin menterinya menerusi TikTok. Bagi saya ‘pengumuman’ menteri lebih menarik. Siap dengan intro ‘jeng jeng jeng’.

Kata beliau (dan kementeriannya) bermula hari ini, beberapa SOP akan dimansuhkan. Ya ini berita gembira tentunya buat rakyat yang terikat dengan SOP akibat wabak Covid-19 untuk sekian lama.

Oleh itu untuk menjawab persoalan yang kerap ditanya orang ramai iaitu adakah penggunaan pelitup muka masih wajib? Jawapannya ialah ya. TETAPI hanya apabila berada di dalam bangunan (indoor) atau semasa berulang alik menggunakan pengangkutan awam.

Menurut protokol ‘baharu’ Kementerian Kesihatan (KKM), seseorang boleh menanggalkan pelitup muka ketika bersendirian, bersenam atau ketika makan dan minum. Bukankah ini keadaannya sebelum ini? Apa yang baharunya? Khususnya ketika makan dan minum walaupun di restoran. Takkan nak makan dan minum pakai pelitup muka? Masuk makanan dan minuman ikut mana tu?

Kata KKM, pelitup muka tidak wajib dipakai ketika kita berada di luar atau outdoor. TETAPI KKM tetap menggalakkan ia digunakan jika keadaan di luar sesak.
Dan orang yang berisiko tinggi, warga emas, kumpulan rentan dan individu yang sakit dan punya gejala digalakkan pakai pelitup muka.

Menggalakkan bukan mewajibkan. Tetapi kata KKM kegagalan mematuhi peraturan pelitup muka boleh didenda RM1,000 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. Ini seperti biasa.

Dan meskipun peraturan pakai pelitup muka dibatalkan untuk kawasan luar, polis akan terus memantau pematuhan SOP terutama pemakaian pelitup muka di kawasan dalam bangunan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim dipetik media berkata pasukannya akan terus meronda kawasan orang ramai berhimpun walaupun SOP baharu berkuatkuasa hari ini.

Bagaimanapun kata beliau polis akan ‘memberi nasihat kepada orang ramai mengenai pematuhan SOP sebelum mengeluarkan saman atau kompaun’.

Oleh itu, kita kenalah berhati-hati dan buat keputusan tepat dengan sendiri.

Satu lagi persoalan yang selalu ditanya orang ramai ialah mengenai penjarakan fizikal. Masihkah ia perlu dilakukan?

Kata KKM tidak. TETAPI (sekali lagi), orang ramai masih dinasihati supaya menjaga jarak (bukankah ini bermaksud penjarakan fizikal?) apabila berada di sekeliling atau dikelilingi orang yang tidak memakai pelitup muka.

Ertinya di kawasan luar? Di mana orang dibolehkan tidak memakai pelitup muka? Oleh demikian tentulah ramai yang tidak memakainya kerana dibenar berbuat begitu. Bukankah ini akan menyaksikan kesesakan? Berbalik soal tempat sesak yang disebut tadi. Lantas jarak mesti dijaga. Bolehkah disimpulkan peraturan mengenai penjarakan fizikal tetap ada?

Dan perlu diingat kata KKM, menurut protokol baharu status vaksin ‘tidak penting’ atau tidak diambil kira kerana semua orang kecuali mereka yang positif Covid-19 atau dihadkan pergerakan akibat perintah pengawasan rumah akan ‘mempunyai kebebasan bergerak tanpa mengira status vaksinasi’.

Tidakkah itu mengelirukan? Berdasarkan itu bolehkah ‘dijangka’ banyak tempat (luar juga dalam) akan sesak? Oleh itu penjarakan fizikal mesti dilakukan dan pelitup muka dipakai? Walhasil balik asal? Sekadar saya tanya.

Sekali lagi kita kena nilai dan buat keputusan tepat. Sendiri. Salah langkah boleh kena denda kerana seperti disebut tadi perundangan membolehkan denda masih berkuatkuasa.

Juga masih berkuatkuasa ialah peraturan kuarantin. Sesiapa yang didapati positif Covid-19 mesti dikuarantin selama tujuh hari dari tarikh sampel diambil (peraturan lama).

TETAPI kuarantin sekarang boleh ditarik semula pada hari keempat jika ujian RTK-Ag yang ‘dijalankan secara profesional’ kembali negatif. Ujian ini kata KKM boleh dijalankan secara peribadi atau maya.

Beralih kepada satu lagi persoalan besar yang banyak ditimbulkan rakyat. Bolehkah aplikasi MySejahtera dipadamkan? Dalam erti kata lain tidak digunakan lagi. Lihat sahaja platform media sosial. Ada banyak grafik bertujuan lawak, juga sindir memaparkan kubur MySejahtera. Yang ingin dikatakan pencipta grafik ialah MySejahtera sudah mati.

KKM tidak menggalakkan aplikasi MySejahtera dipadamkan. Kita sedar sejak 2020 kita ‘punya’ atau lebih tepat kita ‘diberi’ dua pilihan semasa mengunjungi mana-mana premis termasuk premis komersial (sebenar kita tidak mempunyai mahupun diberi pilihan kerana kita diarah).

Dua ‘pilihan’ berkenaan ialah sama ada menulis butiran kita pada buku log yang disediakan pemilik premis atau menggunakan fungsi daftar masuk aplikasi MySejahtera. Kedua dua peraturan terbatal hari ini (sebenarnya kaedah buku log sudah lama tiada dengan sendirinya).

TETAPI (ya ada lagi), pemilik premis masih perlu menyemak status risiko individu pengguna aplikasi MySejahtera. Individu yang ‘berisiko tinggi’ pada aplikasi MySejahtera atau diberi ‘perintah pengawasan rumah’ mesti dihalang daripada masuk.

Ini agak rumit. Apabila pemilik premis atau peniaga dimestikan menyemak status individu (yakni pelanggan mereka) yang menggunakan aplikasi MySejahtera. Ini boleh mendatangkan marah. Ini bukan tempiak Abdul Wahab dan Abdul Wahub kepada saudara penipu Sadiq Segaraga dalam filem komedi Tiga Abdul arahan P Ramlee.

Saya pinjam dialog itu untuk menggambarkan kemarahan yang boleh timbul dalam kalangan sesetengah pelanggan serta pengunjung premis komersial yang ditujukan kepada pemilik premis apabila diminta ‘membuktikan’ status kesihatan mereka.

Kalangan peniaga sudah pun meluahkan rasa kecewa terhadap peraturan itu. FMT memetik bos Mydin Mohamed Holdings Bhd Ameer Ali Mydin sebagai berkata peraturan baharu itu ‘paling tidak masuk akal’ dan rakan-rakannya tertanya-tanya bagaimana ia akan dilaksanakan.

FMT turut melaporkan rungutan peneraju beberapa persatuan perniagaan. Ada yang bimbang kemungkinan orang akan memalsukan maklumat MySejahtera mereka dengan hanya menunjukkan tangkap layar kepada peniaga.

Ada yang berpendapat peraturan baharu berkenaan akan menjadi tanggungjawab tambahan kepada peniaga ketika menghadapi kekurangan pekerja dan sebagainya.

Tetapi hakikatnya Putrajaya sudah membuat keputusan yang mesti dipatuhi. Sama ada ia tidak akan berganjak atau sebaliknya tidak dapat dipastikan. Kita pernah lihat U- turn berlaku.

Kata seorang kawan, protokol baharu ini secara keseluruhan ibarat ‘boleh salam, tak boleh sentuh muka tapi tak kata boleh cium tangan atau tidak’.
Pun begitu, langkah kerajaan khususnya KKM menampilkan protokol baharu ini boleh dianggap langkah ke hadapan. Cuma bagi saya ia bagai berkata ‘ini boleh tetapi tidak boleh dan itu tidak boleh tetapi boleh’.

Setiap langkah ‘boleh’ diiringi dengan ‘TETAPI’.

Tidak jelas bahkan mengelirukan. Akan tetapi, seperti dikatakan tadi kita kena buat keputusan sendiri. Itu pada hemat saya yang kerajaan mahukan. Harap keputusan yang kita buat betul dan tepat. Demi ‘kesihatan poket’ yang akan terjejas akibat kena saman - FMT 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.