Thursday, May 26, 2022

Bersatu kemuka nama anggota Kabinet ganti Zuraida kepada PM, kata Muhyiddin

 

Muhyiddin Yassin berkata keahlian Zuraida Kamaruddin dalam Bersatu gugur serta-merta hari ini.

PETALING JAYA: Bersatu akan mengemukakan satu nama baharu kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk dilantik sebagai anggota Kabinet susulan peletakan jawatan Zuraida Kamaruddin hari ini.

Presidennya Muhyiddin Yassin berkata, tindakan itu dibuat memandangkan pelantikan Zuraida sebagai menteri perusahaan perladangan dan komoditi sebelum ini daripada kuota Bersatu.

“Saya mengucapkan terima kasih di atas segala sumbangan beliau kepada Bersatu selama ini,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Zuraida yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) kerana percaya dengan perjuangan parti baharu itu dan enam prinsip terasnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, pihaknya telah menghantar surat tunjuk sebab kepada Zuraida berkaitan penglibatannya dalam PBM serta mengambil bahagian dalam aktiviti parti itu pada 9 Mei, dan dibalas 23 Mei lalu.

“Langkah seterusnya ialah untuk merujuk kes beliau ke Lembaga Disiplin parti.

“Namun, memandangkan beliau telah membuat pengumuman untuk menyertai PBM melalui satu kenyataan akhbar hari ini, keahlian beliau dalam Bersatu telah gugur serta-merta mengikut Fasal 10 Perlembagaan Bersatu,” kata Muhyiddin. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.