Friday, May 27, 2022

Bung tidak hadir pelancaran GRS esok

 

Bung Moktar Radin tidak menghadiri majlis pelancaran GRS kerana perlu menghadiri majlis lain di Tongod.

KOTA KINABALU: Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin tidak akan hadir pada majlis pelancaran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), esok.

“Saya tidak dapat hadir, pertama saya bukan sebahagian GRS kerana yang dilancarkan parti GRS.

“Kedua, saya ada program pecah tanah di Tongod, biar GRS dengan GRS, kita urus benda-benda lain,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan pembinaan bangunan ibu pejabat Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS) dan pusat komersial The Cove, di sini, hari ini.

Umno dan Barisan Nasional (BN) merupakan salah satu parti yang mewujudkan GRS pada pilihan raya negeri (PRN) lalu bersama-sama dengan Perikatan Nasional (PN), Parti Bersatu Sabah (PBS), STAR dan Parti Progresif Sabah (SAPP).

Bagaimanapun, Ketua Menteri Hajiji Noor mengumumkan GRS secara rasmi didaftarkan sebagai entiti politik tanpa penyertaan Umno dan BN.

Sebaliknya, pengerusi GRS itu mengumumkan penyertaan Usno sebagai parti terbaharu menyertai gabungan berkenaan.

Majlis pelancaran GRS esok dijangka dihadiri kesemua presiden parti dalam gabungan itu.

Umno juga dikatakan akan diwakili timbalan ketuanya di Sabah iaitu Yakub Khan.

Selain itu, parti-parti yang telah memohon untuk menyertai GRS seperti Kemakmuran Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS) juga dijangka hadir. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.