Sunday, May 29, 2022

Jawatan timbalan presiden PKR hampir pasti milik Rafizi

 

Calon timbalan presiden PKR Rafizi Ramli menang undi majoriti di 11 negeri, manakala Saifuddin Nasution Ismail, hanya menang di dua negeri sahaja.

PETALING JAYA: Rafizi Ramli semakin hampir memenangi saingan timbalan presiden PKR apabila menguasai 11 negeri dengan pesaingnya, Saifuddin Nasution Ismail hanya menang di dua negeri, sehingga kini.

Rafizi menguasai undi majoriti di Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Kedah, Sabah, Johor, Perak, Pahang, Pulau Pinang, Terengganu dan Wilayah Persekutuan, selain Saifuddin menang di Sabah dan Perlis.

Sarawak satu-satunya menjadi negeri yang belum mengeluarkan sebarang keputusan dalam semua jawatan dipertandingkan.

Sehingga kini, bekas ahli Parlimen Pandan itu menang di 152 bahagian membabitkan 13 negeri menerusi 67,937 undi, manakala Saifuddin menang di 40 bahagian dengan 48,863 undi.

Selain itu, saingan lain yang menarik perhatian membabitkan ketua bahagian Gombak antara Ketua PKR Selangor Amirudin Shari yang juga menteri besar, menentang bekas ketua PKR Perak Farhash Wafa Salvador.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi dikeluarkan di laman web PKR, hari ini, Amirudin memperoleh 1,858 undi, manakala Farhash meraih 1,215 undi.

Aktivis mahasiswa Adam Adli mendahului bagi jawatan ketua Pemuda PKR selepas memperoleh 7,545 undi di empat negeri.

Menurut laporan Berita Harian, saingan Adam bagi jawatan itu, Ketua Pemuda PKR Pulau Pinang Fahmi Zainol mendapat 7,001 undi.

Dalam pada itu, veteran PKR Tian Chua, gagal mempertahankan jawatan ketua bahagian Batu.

Beliau ditewaskan P Prabakaran yang mendapat 517 undi, manakala Chua memperoleh 306 undi. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.