Wednesday, June 1, 2022

‘Jangan tahan lapar’, peniaga beri makanan percuma kepada pelajar susah

 

Penjual nasi lemak di UTM Skudai, Siti Aishah Othman, berharap dapat membantu lebih ramai pelajar susah pada masa akan datang.

PETALING JAYA: Pernah merasai kehidupan sebagai pelajar, seorang peniaga nasi lemak di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor, tidak lokek berkongsi rezeki dengan memberi makanan percuma setiap hari kepada 10 pelajar susah.

Siti Aishah Othman, 32, yang baru berniaga di UTM selama sebulan mengakui sebelum ini dia memberi makanan percuma itu secara senyap-senyap.

Gerai nasi lemak berlauk Kak Chah menjadi tular di media sosial selepas dilihat nota kecil ditampal di kedainya meminta pelajar yang tiada wang supaya tidak mengikat perut, sebaliknya memberitahunya agar beliau dapat “membelanja” mereka.

“Adik-adik pelajar, kalau tidak ada wang, jangan tahan lapar. Datang sini, beritahu, saya belanja. Saya pun pernah jadi pelajar. Jangan malu,” tulis Aishah dalam nota kecil itu.

Nota yang ditampal di gerai nasi lemak berlauk Kak Chah meminta pelajar yang tiada wang supaya tidak malu memberitahunya keadaan mereka agar beliau dapat memberi makanan percuma.

Rata-rata pengguna di media sosial yang kagum dan terharu dengan keikhlasan penjual nasi lemak itu mendoakan rezekinya bertambah luas.

Aishah memberitahu FMT, beliau hanya melakukannya dengan niat untuk bersedekah.

Beliau berkata, apabila kisah bantuan kecilnya itu tular, ada pihak lain yang turut menyedekahkan wang agar beliau dapat memberi lebih banyak makanan percuma.

Katanya, beliau dapat mengenal pasti pelajar yang tidak cukup wang untuk makan kerana ada yang hanya membeli nasi lemak RM1 setiap hari.

“Kadang-kadang ada yang bayar guna duit syiling. Mereka tak cakap (susah),” katanya.

“Tetapi sebab saya pun pernah susah, jadi boleh faham. Kalau mampu, mereka takkan sanggup makan benda sama yang paling murah setiap hari.”

Aishah berniaga nasi lemak berlauk setiap Ahad sehingga Khamis, tetapi cuti pada Jumaat, Sabtu dan cuti umum. Katanya, nasi lemak paling murah di kedainya dijual dengan harga RM1, berlaukkan telur potong empat, kacang, bilis, timun dan sambal.

Beliau berharap dapat membantu lebih ramai pelajar susah pada masa akan datang dan meneruskan amanah pihak yang telah memberi sumbangan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.