Wednesday, June 1, 2022

Kemenangan Rafizi dan masa depan PKR

 

Ketegaran politik Parti Keadilan Rakyat telah pun sampai ke penghujung. Ketika parti lain seperti PAS dan Umno sibuk meminda perlembagaan demi melengahkan proses memilih regu baru kepemimpinan mereka, PKR dengan yakin meneruskan proses demokrasi dalam parti mengikut jadual.

Nampaknya Umno dan PAS bimbang jika proses pemilihan tempoh baharu diadakan sebelum PRU15, ia akan mengkoyak-rabakkan perpaduan parti dan mengancam kebarangkalian akan berlaku kegiatan “cah keting” yang mampu melemahkan peluang memenangi PRU kelak.

Maklumlah setiap kali ada pemilihan pasti akan wujud pelbagai firqah dan “cai” yang berusaha untuk menonjolkan ahli atau regu masing-masing agar menang. Mereka khuatir akibatnya parti akan berantakan dan jadi tidak fokus menghadapi pilihan raya.

Bagaimanapun PKR tidak demikian. Ia yakin pada idealisme politiknya untuk melunaskan tuntutan demokrasi dan tetap mengadakan pemilihan kepimpinan baharu. Khulasahnya lebih seribu ahli PKR menawarkan diri bertanding jawatan di semua peringkat – dari Cabang sampai ke tahap kepemimpinan nasional.

Kini yang pastinya majoriti ahli PKR mahu Anwar Ibrahim digandingkan dengan tenaga muda yang kebanyakannya sudah “veteran” dalam perjuangan yang dikepalai oleh Rafizi Ramli.

Kini penganalisis politik dan juga parti saingan PKR akan cuba menghidu sama ada proses pemilihan PKR yang baru selesai akan mengakibatkan keretakan dalam parti.

Justeru, kini bergantung pada kepemimpinan Anwar untuk memastikan perpecahan dalaman parti akibat persaingan terbuka seperti yang amat digeruni oleh PAS dan Umno, tidak berlaku.

Baik PKR mahupun DAP kini boleh berbangga bahawa masing-masing adalah parti reformasi tulen.

Jika Anwar berjaya menyatukan partinya pasca pemilihan di mana “yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidaklah kalah semua”, maka hubaya-hubayalah PAS Umno serta Bersatu bahawasanya PKR dan DAP adalah parti ampuh yang faham makna demokrasi dan keadilan.

Sekaligus ia akan menelanjangkan betapa porak peranda dan muflis semangat perpaduan dalam parti-parti lain. Dalam hal ini Anwar perlu matang menganyam semangat baharu dalam PKR dan mengelak terkorban dek kebejatan politik orang Melayu silam.

Justeru Anwar perlu meninggalkan sikap politik feudal yang bersarang cemburu dan iri hati dalam politik sejak zaman istana. Anwar tidak perlu mengulang-guna virus politik seperti yang masyhur dalam peristiwa Singapura dilanggar todak!

Rafizi dan anak-anak muda PKR yang mengisi kotak kepimpinan usah dikorbankan seperti Hang Nadim yang dengan bijaksana menyelamatkan Singapura dari serangan todak dengan berperisaikan batang pisang dan bukan betis-betis politik arahan raja!

Pada masa yang sama juga Anwar jangan mengamalkan politik istana yang mengorbankan khidmat Hang Tuah hanya kerana ego palsu yang dikipas oleh pengampu diraja hingga mempalit aib di wajah raja kerana terpaksa merayu kesetiaan Laksamana Hang Tuah yang telah diperintah hukum bunuh kerana difitnah “mengorat” dayang diraja!

Pilihan ahli parti sudahpun diketahui. Komposisi pemimpinnya nampak segar dan bertenaga untuk merapatkan saf perjuangan dan menempuh PRU15, tidak kira bila ia dilakukan.

Anwar berbanding pemimpin politik Malaysia lain tentu maklum akan pesan Rasulullah bahawa di antara golongan awal masuk syurga ialah imam yang adil. Praktikkanlah formula kepemimpinan yang diwarisi dari zaman Angkatan Belia Islam Malaysia dan pemikiran Triple IT.

PKR adalah parti politik berbilang bangsa dan kepercayaan agama serta budaya. Jika Rasulullah mampu memanfaatkan konsep perpaduan di antara Muhajirin dan Ansar serta sebahagian Yahudi dan Nasrani, mengapa amalan ini tidak boleh dilaksanakan dalam Pakatan Harapan pimpinannya.

Pendirian ini mesti diekori oleh sikap memaafkan yang murni. Banyak sisi qisasul anbiya yang boleh dijadikan model kepemimpinan. Antaranya sikap memaafkan. Anwar perlu tekuni sikap Nabi Yusuf yang memaafkan penganiayaan adik beradiknya yang mengakibatkan beliau dijual sebagai hamba abdi dan kemudian dipenjara!

Jangan bersikap feudal. Rasulullah juga sering dijadikan bahan fitnah yang menyinggung egonya. Pernah selepas Perang Hunain Rasulullah dituduh tidak adil dan pilih kasih kerana tidak membahagikan harta rampasan secara adil dan saksama.

Tidak cukup dengan itu isteri baginda sendiri juga difitnah. Siti Aisyah digosipkan sebagai menjalin hubungan sulit dengan seorang sahabat, Safwan Mu’athal, selepas ketinggalan kafilah perang!

Jika Rasulullah boleh difitnah dengan tujuan mengaibkan baginda, maka siapakah Anwar yang mahu menebarkan sebuah idealisme politik dan menyatupadukan berbagai firqah dan rumpun bangsa di Malaysia. Jangan jadi macam PAS yang gagal berdakwah pada DAP dan kemudian merumuskan bahawa ia adalah pembela umat Melayu dan Islam sahaja.

Allah lebih bijaksana sehingga tidak mengizinkan PAS merasai nikmat menjadi pemerintah Malaysia lantaran ia terus mencambahkan ideologi assabiyah atau perkauman Melayu sahaja. Sayang sekali PAS hari ini tidak menteladani sikap dan pemikiran Islam syumul Tok Guru Nik Aziz Nik Mat.

Setelah berprinsipkan sikap pemaaf, serta berani menentang arus, Anwar mesti kurangkan jurang pemikiran politik dengan sekutu PH. Tidak perlulah berkeras untuk hanya menggunakan bendera PKR sahaja walhal PH sudah ada lambang kesatuan dan perpaduannya sendiri!

Rakyat dapat menghidu ketidakselarasan di medan perang politik dalam PRN Melaka dan Johor lalu adalah kerana rasa “tersinggung” sebab ada taulan PH tidak berikhtiar sepenuh daya menempatkan Anwar sebagai pewaris kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Maafkanlah mereka yang telah melelahkan diri dalam perjuangan memertabatkan bangsa Malaysia di bawah payung PH. Paling utama, Anwar perlu peka akan sergahan dan asakan pandangan nakal bekas diplomat, Dennis Ignatius yang menyebarkan idea bahawa demi kesejahteraan politik negara, Anwar perlu bersara daripada politik.

Sayugia diingat bahawa bibit solidariti PH telah dicerna oleh Anwar sendiri. Mungkin surat terbuka Dennis Ignatius itu terbit daripada kebimbangan maruah dan harga nama baik Anwar akan pudar dek politik kurang moral yang mengotori persada siasah negara sekarang ini. Berbaik sangkalah! - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.