Wednesday, June 1, 2022

Mahkamah batal perintah lepas tanpa bebas Long Tiger

 

Abdul Hamim Ab Hamid, atau dikenali sebagai Long Tiger berdepan beberapa tuduhan bawah Kanun Keseksaan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Muar membatalkan perintah melepas tanpa membebaskan Abdul Hamim Ab Hamid, atau dikenali sebagai Long Tiger, yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Tangkak pada 17 Mei.

Berita Harian melaporkan, perintah itu dibuat Hakim Abu Bakar Katar selepas mendapati terdapat kekhilafan sewaktu perintah dikeluarkan bagi tuduhan mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan.

Ia berikutan kematian mengejut saksi utama pendakwaan, Luqman Hakeem Othman pada 23 Mac lepas.

Keputusan itu turut memerintahkan perbicaraan diteruskan di Mahkamah Majistret Tangkak dan mengarahkan Abdul Hamim hadir di mahkamah sama pada 5 Jun bagi penetapan tarikh sambung bicara.

Abu Bakar juga tidak membenarkan jaminan terhadap Long Tiger ketika keputusan semakan kehakiman dibacakan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dan Muhammad Qaiyyum Ramlan mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Puteri Aisyah Zahirah Zakaria.

Pada 17 Mei lalu, majistret Zaridah Y Abdul Jaapar mengeluarkan perintah itu selepas pihak pendakwaan dan pembelaan membuat hujahan lisan ekoran kematian mengejut Luqman Hakeem pada pertengahan perbicaraan.

Pada 20 Januari, Long Tiger dijatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Tangkak kerana melarikan diri daripada tahanan mahkamah pada 15 Disember 2021.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali.

Lelaki berketurunan Rohingya itu juga kini berdepan perbicaraan bagi kes mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana melakukan kurungan yang salah dan ugutan bunuh.

Dia juga masih berdepan satu lagi tuduhan mengikut Seksyen 376 kanun sama di Mahkamah Muar kerana merogol. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.