Thursday, June 30, 2022

PRU15: Laskar siber sudah sedia

 

Kemungkinan besar anda, seperti saya, baru-baru ini ada disajikan melalui media sosial grafik yang kononnya catatan mengenai tarikh pembubaran Parlimen dan PRU15.

Catatan mendakwa Parlimen bubar September untuk membolehkan pilihan raya diadakan Oktober. Tidak diketahui siapa yang empunya angkara mencipta catatan sedemikian. Saya tidak ingat tarikh yang disebut kerana tidak minat dengan “berita” sebegini. Dan kerana itu jugalah saya terus padamkan hantaran itu daripada aplikasi WhatsApp saya.

Saya menyifatkan ia “fake news”. Kata seorang kenalan pula catatan itu “adalah berita palsu tetapi mungkin boleh jadi kenyataan”. Huh? Jadi palsu atau benar? Beliau tidak dapat jawab.

Bagi saya tidak kisah bila PRU15 diadakan. Tahun ini mahu pun tahun depan. Ia akan jadi perang media sosial. Ramai ahli politik, pemerhati serta penganalisis politik juga berkata begitu. Tidak perlu jadi pakar politik untuk tahu itu. Ia hasil revolusi internet dalam era digital.

Oleh itu, pastinya laskar siber atau “cybertroopers” sudah siap sedia untuk menjalankan “tugas”. Mereka sedang sibuk macam juga ahli nujum politik sibuk menilik tarikh pilihan raya.

Saya ceritakan secara ringkas insiden membabitkan dua wartawan portal berita The Vibes tempoh hari. Mungkin ia boleh “membuktikan” laskar siber sudah beraksi. Begini.

Pada 14 Mei lalu, Qistina Nadia Dzulqarnain dan Lancelot Theseira membuat tinjauan mengenai orang ramai yang “terpaksa” beratur panjang semasa berurusan di pejabat imigresen bertempat di UTC Pudu Kuala Lumpur.

Ketika menjalankan tugas, mereka diherdik dan dihalau oleh pengawal keselamatan yang tidak membenarkan mereka merakam gambar atau menemu bual orang ramai tanpa “izin rasmi pihak pengurusan”.

Insiden itu disiar media bukan sahaja The Vibes. Malah video aksi pengawal keselamatan turut tular. Peringkat awal ramai yang marah akan tindakan pengawal keselamatan berkenaan. Mereka yang terdiri orang politik, wakil NGO dan orang awam menyokong dua wartawan berkenaan, menyatakan rasa kesal apa yang terjadi sambil menegaskan wakil media tidak boleh dihalang daripada menjalankan tugas. Pendapat disuarakan melalui portal berita dan juga pelbagai platform media sosial.

Namun, tidak lama kemudian “secara mendadak” ratusan jika bukan ribuan komen yang mengkritik (sekadar menggunakan bahasa lembut) dua wartawan itu mula “membanjiri” media sosial.

Semasa bercakap pada satu majlis anjuran Geramm atau Gerakan Media Merdeka Mei lalu Lancelot memberitahu beliau percaya malah yakin “cybertroopers” sudah beraksi. “Ada pihak sudah mula gunakan mereka manakala satu pihak lagi belum”, kata Lancelot tanpa menamakan pihak dimaksudkan.

Saya juga difahamkan oleh golongan yang agak arif tentang hal internet termasuk serangan siber, laskar siber dibantu pasukan “pakar” yang “memastikan” mesej serta bahan yang mereka cipta disebar luas. Juga mendorong “aliran trafik” ke sesuatu sasaran di samping “mengganggu” kelancaran aliran “trafik” ke platform yang dianggap “musuh”.

Lim Kit Siang, ahli politik veteran DAP merujuk perkembangan di Filipina khususnya pilihan raya presiden 9 Mei lalu apabila menyatakan PRU15 akan diperjuangkan terutama di media sosial.

Kata beliau kemenangan Ferdinand Marcos Jr atau Bong Bong, anak bekas diktator Filipina Ferdinand Marcos Sr untuk menjadi presiden negara itu adalah “kemenangan disinformasi media sosial dan pembohongan internet” yang mesti dijadikan pengajaran oleh Malaysia khasnya apabila PRU15 diadakan.

Menurut Lim maklumat salah (atau palsu) di media sosial dan pembohongan internet boleh memutihkan pemerintahan kejam diktator dan kleptokrasi Marcos Sr pada tahun 1980-an menjadi “era keemasan, keamanan dan kemakmuran”.

Beliau mendakwa maklumat salah media sosial sudah pun tersebar di Malaysia dan boleh dilihat termasuk menerusi video yang dipertonton di media sosial TikTok yang beliau sendiri melihatnya. Bukan pendedahan baharu kerana kita semua tahu akan perkembangan ini.

Lantas media “tulen” di Malaysia, yakni yang tradisional dan juga media dalam talian mempunyai cabaran hebat berdepan ancaman begitu rupa. Juga bukan sesuatu yang pengamal media tidak tahu.

Bukan kebetulan tema Hari Kebebasan Sedunia 2022 ialah “kewartawanan di bawah pengepungan digital” atau “Journalism under Digital Siege”. Sesungguhnya kewartawanan sedang dikepung malah ada yang kata “ditawan” pendigitalan.

Sempena Hari Kebebasan Media Sedunia 3 Mei lalu beberapa bekas pengarang berita mengingatkan pengamal media mengadaptasi atau menyesuaikan diri dengan perubahan yang dibawa revolusi internet pada era pendigitalan.

Mereka juga mahu media “mencari jalan untuk menangani serangan digital”. Bagaimana? Tidak pula mereka memberitahu.

Ramai dan bukan sahaja dalam kalangan media tetapi juga masyarakat umum, berpendapat untuk meyakini orang ramai ketika berdepan gejala “fake news”, media mesti lebih “credible” dan bukan sahaja benar-benar bebas tetapi mesti dilihat bebas.

Kebebasan maklumat dan hak media untuk memperoleh maklumat tepat dan menyiarkannya adalah antara ciri paling penting untuk menyekat atau mengurangkan penyebaran berita palsu.

Ingat zaman ketika akhbar media arus perdana, radio dan televisyen menjadi sumber utama orang ramai mendapatkan maklumat? Media arus perdana ketika itu “mengizinkan” diri mereka (kerana terpaksa atau dipaksa) menjadi “lidah rasmi” pihak tertentu terutama pemerintah, termasuk “menyembunyi” kepincangan dan masalah pemerintah sehingga kredibiliti sendiri diragui masyarakat.

Akibatnya mereka tidak diyakini dan tidak dipercayai walaupun semasa melaporkan yang benar. Timbul khabar angin dan surat layang yang lebih dipercayai ramai daripada “maklumat” yang disiar media.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar antara yang setuju kebebasan maklumat dan hak mendapatkan informasi tetap penting demi menyekat penyebaran “fake news”.

Beliau menegaskan media tidak seharusnya disekat dalam membuat laporan namun ia “perlu disertai sikap tanggungjawab”. Apa pun Wan Junaidi menganggap media Malaysia adalah “bebas”.

Pusat Kewartawanan Bebas atau CIJ berbeda pendapat. Persekitaran media di Malaysia kata badan itu masih bergelut dan “kerajaan menggunakan undang- undang yang menindas ke atas media dan wartawan untuk menutup laporan kritis mengenai kerajaan”.

Saya setuju. Itu antara cabaran utama media dalam usaha memerangi berita palsu. Pun begitu media akan menjalankan tugas sebaik mungkin. Pencipta berita palsu juga akan “buat kerja” mereka dan akan bertambah sibuk apabila pilihan raya semakin dekat. Tujuannya memenangkan tuan masing-masing.

Kesimpulannya rakyat selaku penerima maklumat mesti memilih mana yang mahu dipercayai mana yang mahu ditolak. Rakyat mesti tahu mana yang benar mana yang palsu.

Dan antara cara “mudah” ialah apabila “something is too good to be true” atau sesuatu itu terlalu baik untuk menjadi kenyataan eloklah diabaikan. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.