KUALA LUMPUR: Sikap toleransi atau berlapang dada bukan sahaja membolehkan negara terus membangun sehingga dihormati, malah dapat mengelakkan daripada berlaku perbalahan yang sia-sia dan merugikan, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Justeru, perdana menteri menyeru Keluarga Malaysia menjaga keharmonian dan perpaduan dengan mengamalkan konsep “tasamuh” atau toleransi, dituntut dalam Islam yang sangat bersifat universal.
“Semangat tasamuh ini telah dianjurkan oleh Rasulullah SAW semasa membangunkan kota suci Madinah di mana golongan Ansar dan Muhajirin menzahirkan sifat toleransi yang melahirkan masyarakat berkasih sayang, merentasi kaum dan warna kulit,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena sambutan Maal Hijrah 1444H/2011M bertemakan “Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran” yang disiarkan di stesen televisyen tempatan malam ini.
Ismail berkata, semangat tasamuh itu telah diterjemahkan Ahli-ahli Dewan Rakyat ketika sebulat suara meluluskan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No.3) berkenaan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti semalam yang mengetepikan perbezaan fahaman politik demi Keluarga Malaysia.
Perdana menteri berkata, negara juga berjaya berhijrah memasuki fasa peralihan ke endemik, selepas lebih dua tahun berjuang memerangi krisis berkembar kesihatan dan ekonomi akibat Covid-19 dengan semangat kebersamaan.
Beliau berkata, fokus utama kini adalah untuk bersama memangkin kemakmuran kesihatan dan ekonomi demi Keluarga Malaysia.
“Alhamdulillah atas usaha dan kebersamaan, impak daripada krisis yang dihadapi seluruh dunia pada hari ini dapat kita lalui biarpun kesannya tetap dirasai,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail mengajak Keluarga Malaysia menghayati peristiwa Ma’al Hijrah dan menerapkannya dalam konteks hari ini dengan berusaha mengubah diri menjadi individu lebih baik dan bermanfaat kepada orang lain.
“Dalam ruang lingkup tugas tersendiri, kita semua bertanggungjawab memastikan hubungan sesama anggota masyarakat berjalan atas prinsip keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran sepertimana yang ditekankan dalam konsep Keluarga Malaysia.
“Terapkanlah nilai-nilai peristiwa Hijrah ini supaya ia menjadi pemangkin kepada kemakmuran negara dan kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.