Wednesday, August 31, 2022

Caruman siling gaji baharu dikuatkuasa mulai 1 Sept, menurut Perkeso

 

Perkeso berkata, caruman terpakai bagi pekerja bergaji melebihi RM4,000 sebulan seperti dalam Akta 4 dan Akta 800. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menguatkuasakan siling gaji baharu bagi caruman daripada RM4,000 kepada RM5,000 sebulan, mulai 1 September ini, kata Ketua Eksekutifnya, Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Jelas Azman, langkah itu bagi menambah baik liputan keselamatan sosial Perkeso menerusi peningkatan kadar bayaran faedah sedia ada sehingga 25.3%.

“Faedah itu seperti Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), Faedah Orang Tanggungan (FOT), Pencen Penakat dan Pencen Ilat di bawah Akta 4 serta Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB) dan Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) di bawah Akta 800.

“Mulai September ini, amaun caruman akan terpakai bagi pekerja yang bergaji melebihi RM4,000 sebulan adalah seperti dinyatakan dalam Jadual Ketiga, Akta 4 dan Jadual Kedua, Akta 800. Pekerja bergaji melebihi RM5,000 sebulan, amaun caruman mengikut had siling gaji RM5,000,” katanya menurut Berita Harian.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Azman berkata, penguatkuasaan siling gaji baharu untuk caruman skim itu juga selaras pindaan kepada Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

“Oleh itu, bayaran caruman bagi September ini dan seterusnya perlu dibuat majikan mengikut pindaan had siling gaji baharu.

“Majikan diminta mencatatkan jumlah potongan caruman dalam penyata atau slip gaji pekerja masing-masing, bagi tujuan rekod dan aktiviti pemeriksaan oleh Perkeso,” katanya.

Katanya lagi, dijangka seramai 1.5 juta pekerja atau hampir 19% daripada keseluruhan pencarum di seluruh negara terbabit dalam peningkatan siling gaji ini yang merangkumi pekerja tempatan dan asing.

“Sejak penubuhannya pada 1971 hingga kini, peningkatan siling gaji ini sudah dilaksanakan sebanyak lima kali oleh Perkeso.

“Langkah ini dilaksanakan sejajar usaha berterusan agensi ini ke arah menyediakan perlindungan sosial yang lebih komprehensif kepada pencarum dan orang tanggungannya,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.