Thursday, September 1, 2022

Rosmah

 

Menjadi penghias kulit dan muatan utama majalah Wanita edisi September 2017, terbitan Utusan Karya, Rosmah Mansor dikehadapankan di kaver sebagai wanita “kalis fitnah sejak bergelar isteri perdana menteri”. Dalam wawancara dengan sidang pengarang majalah tersebut, Rosmah memberitahu beliau lali dengan kata-kata masyarakat dan menganggap itu sebagai “job hazard”.

Hal ini tentu sangat menarik untuk direnungkan.

Ketika diinterbiu, Rosmah juga terlihat menabur bermacam-macam pesan dan kata mulus, sebagai contoh; “apa yang tertulis menjadi hak kita, tetap akan jadi hak kita dan orang lain tidak boleh mempertikaikannya”.

Kemudian, apabila diberi peluang menggambarkan siapa dirinya, Rosmah merujuk dirinya begini; “di kalangan kenalan rapat, mereka menyifatkan saya sebagai seorang yang kelakar”.

Hal ini sangat menarik untuk direnungkan.

Dalam hal asuhan dan pendidikan untuk anak-anak, Rosmah menceritakan apabila suaminya dilantik sebagai perdana menteri, beliau telah memanggil anak-anak dan berkuliah kepada mereka:

“Apabila Datuk Seri dilantik menjadi perdana menteri, saya panggil anak-anak. Selama setengah jam saya memberi ‘lecture’ kepada mereka. Saya beritahu mereka tentang pelantikan itu. Saya ingatkan mereka bahawa hanya bapa mereka yang menjadi perdana menteri, bukan mereka. Apa yang kami miliki semuanya pinjaman. Jadi, jangan berlagak seolah-olah mereka yang menjawat jawatan itu.”

Tentu “lecture” Rosmah ini sangat menarik untuk direnungkan.

Untuk senang berhubung dengan anak-anak, Rosmah mengaku memiliki empat telefon bimbit. Hal ini beliau dedahkan kepada sidang pengarang sebuah majalah lain, iaitu Mingguan Wanita bagi edisi khas Aidilfitri, iaitu keluaran Ogos-September 2010. Kata Rosmah, “bila mendengar suara anak-anak, saya sudah rasa terhibur. Sebab itu jugalah saya ada empat telefon bimbit bagi memudahkan saya berhubung, bukan sahaja dengan suami, tetapi juga dengan anak-anak.”

Untuk kita semua, dapatan di atas ini sangat menarik untuk direnungkan. Empat telefon bimbit tentulah luar biasa buat kita pembaca dari kalangan rakyat biasa.

Terdapat satu perkongsian menarik daripada suami Rosmah dalam wawancara dengan majalah ini. Suami Rosmah memberitahu begini, “Satu ketika sewaktu berada di UK, saya terlewat ke lapangan terbang dan meminta pemandu untuk segera sampai ke sana, namun mereka enggan. Mereka begitu menjaga kelajuan kerana bimbang lesen akan ditarik balik.”

Hal ini terlebih sangat menarik untuk direnungkan.

Terlepas dari semua pesan muluk sembang, untaian nasihat indah bukan kepalang dan petua mendidik anak-anak seperti yang diketengahkan di atas, Rosmah 2022 adalah edisi lain dari apa yang ditampilkan dalam 2017 dan 2010 di atas.

Rosmah di 2022 telah berdepan dengan pertuduhan rasuah berhubung tender membekal dan memasang tenaga solar hibrid di 369 sekolah di pedalaman Sarawak. Setelah empat tahun yang tidak lagi kalis, dan empat tahun menyembah mahkamah, isteri bekas perdana menteri ini berdepan “nasibnya” yang akan ditentukan oleh hakim Zaini Mazlan.

Sepatah mutiara kata hakim Zaini dalam perbicaraan ketika menetapkan tarikh keputusan sewaktu prosiding pada 12 Mei 2022 lalu; “Kes kita sudah sampai ke penghujung jalan, jadi sudah tiba masanya untuk menamatkan perjalanan dan menetapkan tarikh untuk keputusan.”

Terdahulu dari itu, Rosmah pada 18 Feb 2021 diperintah membela diri atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak. Rosmah didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Saidi Abang Samsudin yang merupakan pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd (Jepak) untuk dirinya sendiri yang dibuat melalui Rizal Mansor melibatkan 15% nilai kontrak. Wang berkenaan dikatakan sebagai upah membantu Jepak mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak mendapatkan projek itu. Kesalahan ini didakwa dilakukan di kediaman Rosmah di No 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta pada 7 Sept 2017.

Benar, di bulan September 2017, iaitu pada bulan dan tahun yang sama beliau ditampilkan di majalah Wanita edisi September 2017, yang mana kala itu Rosmah dikehadapankan di kaver sebagai “kalis fitnah sejak bergelar isteri perdana menteri”.

Tuduhan-tuduhan di atas dikemukakan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 24(1) akta sama. Hukuman yang menanti melibatkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan akan menanti Rosmah.

Hal ini sangat menarik untuk kita semua sama-sama renungkan.

Dalam usaha terakhir beliau, Rosmah mendakwa hakim Zaini bias membuat keputusan dalam kes rasuah membabitkan projek tenaga solar sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion yang dihadapinya itu.

Suatu hal yang mungkin tidak disedari peminat Rosmah adalah Zaini telah menjawat jawatan hakim Mahkamah Tinggi itu pada 2017, tahun di mana Rosmah membuat kenyataan kepada Majalah Wanita, “apa yang tertulis menjadi hak kita, tetap akan jadi hak kita dan orang lain tidak boleh mempertikaikannya”. Iaitu tahun di mana Rosmah mengutarakan kepada anak-anaknya; “Saya ingatkan mereka bahawa hanya bapa mereka yang menjadi perdana menteri, bukan mereka. Apa yang kami miliki semuanya pinjaman. Jadi, jangan berlagak seolah-olah mereka yang menjawat jawatan itu.”

Apa yang juga mungkin kurang disedari oleh orang awam ialah bukan mudah untuk mempertikaikan kewibawaan hakim Zaini ini. Pada 2020, beliau adalah hakim yang menjatuhkan hukuman satu tahun penjara dan denda RM2 juta (USD493,000) terhadap bekas menteri Kabinet, Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga Ahli Parlimen Putrajaya dan bekas setiausaha agung Umno. Keputusan kehakiman beliau setebal 80 muka surat.

Perbicaraan kes Rosmah menjadi lebih seru memandangkan hakim Zaini juga adalah hakim sama mengendalikan perbicaraan terhadap seorang lagi bekas menteri Kabinet, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman atas pertuduhan antara lain melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan memindahkan wang masing-masing berjumlah RM50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Fakta-fakta di atas menjadikan apa yang bakal menimpa Rosmah suatu hal yang terlebih menarik untuk kita, para pengundi bijak dan waras sama-sama hayati.

Bak kata suami Rosmah, dalam majalah yang saya petik di atas; “Satu ketika sewaktu berada di UK, saya terlewat ke lapangan terbang dan meminta pemandu untuk segera sampai ke sana, namun mereka enggan. Mereka begitu menjaga kelajuan kerana bimbang lesen akan ditarik balik.” - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.