Saturday, November 5, 2022

9 pelajar UiTM terperangkap kepala air diselamat

 

Polis berkata semua mangsa berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan dalam operasi mengambil masa kira-kira satu jam setengah. (Gambar Bomba)

PERMAISURI: Sembilan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun berdepan detik cemas, apabila terperangkap dalam kejadian kepala air petang tadi.

Kejadian berlaku di Lata Hulu Kekabu, Setiu, kira-kira 5 petang di kawasan seberang sungai yang menjadi lokasi perkelahan orang ramai.

Ketua Polis Setiu, Afandi Hussin, berkata sebaik menerima panggilan kecemasan, sepasukan polis dan bomba dikerah ke tempat kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Seramai 31 orang termasuk pegawai dan anggota daripada pasukan polis serta bomba, tiba di lokasi kejadian pada 5.30 petang.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

“Didapati semua mangsa yang berusia antara 23 hingga 24 tahun, masih terperangkap di bahagian seberang sungai iaitu lokasi orang awam selalu mandi-manda,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Afandi berkata, semua mangsa berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan dalam operasi mengambil masa kira-kira satu jam setengah.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati semua mangsa yang mengambil jurusan perakaunan telah masuk ke Lata Hulu Kekabu sekitar 2 petang untuk tujuan rekreasi.

Sehubungan itu, Afandi menasihatkan semua orang awam supaya menangguhkan aktiviti rekreasi di kawasan air terjun dan sungai dalam keadaan cuaca tidak menentu terutama pada musim monsun timur laut. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.