Monday, November 7, 2022

Badan penapis calon pilihan raya

 

Sebaik sahaja selesai penamaan calon PRU15 Sabtu lalu kita dapat saksikan seramai 1,386 calon akan bertanding sama ada mewakili parti mereka atau pun bebas, dalam merebut kerusi Parlimen dan juga negeri. Ini menunjukkan bahawa menjadi wakil rakyat merupakan kerjaya yang diminati ramai. Masakan tidak, penyandang yang tidak dicalonkan semula pun ada yang bertanding atas tiket bebas. Tidak dicalonkan semula boleh menangis. Bayangkan betapa seronoknya bekerja sebagai wakil rakyat. Uniknya untuk menjadi wakil rakyat kelayakannya tidak memerlukan sijil khas. Tidak perlu ada ijazah sains politik atau yang berkaitan dengannya. Sama ada anda berkelulusan sekolah rendah atau lulusan menara gading, jika cukup syarat dan diperkenan oleh parti masing-masing boleh sahaja menjadi calon. Baik anda seorang peniaga, pemandu bas, guru, peguam, doktor atau penggiat seni, anda layak bertanding. Tidak hairanlah pada hari penamaan calon kita dapat melihat 1001 ragam. Meriah macam pesta. Semua mahu jadi calon dan inginkan gelaran Yang Berhormat.

Atas perkara-perkara inilah tiba-tiba saya teringat sebuah tulisan humor lagi sinis oleh tokoh wartawan tanahair kita, Abdul Samad Ismail ketika beliau menjadi kolumnis di majalah kartun Gila-Gila sekitar awal 90an dahulu. Rencana tersebut yang bertajuk ‘Panel Pemilih Calon Pilihan Raya’ mengusulkan agar ditubuhkan suruhanjaya bebas bagi menapis setiap calon yang akan bertanding pilihan raya. Panel ini ada pelbagai peringkat dari kampung, negeri sehingga ke peringkat kebangsaan. Walaupun bernada sinis tetapi ia nampaknya logik untuk ditubuhkan. Saya ingin mengenengahkan semula idea tersebut mengapa perlunya ditubuhkan ‘suruhanjaya penapis calon YB’ ini.

Kita bayangkan untuk PRU15 ini, nama-nama calon setiap parti yang bertanding mestilah sampai terlebih dahulu ke badan penapis ini untuk dinilai. Ada beberapa kriteria yang wajar dilepasi mengikut sistem merit/demerit. Jika calon-calon ini berjaya melepasi badan penapis ini baharulah nama-nama mereka dihantar ke Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula yang mana SPR juga turut mempunyai syaratnya sama seperti yang kita tahu sekarang seperti tidak muflis dan sebagainya.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Jika calon tersebut sebelum ini menyandang jawatan wakil rakyat, rekodnya perlu diteliti. Apakah YB ini kaki ponteng? Andai rekod kedatangannya teruk maka calon ini mesti ditendang terus. Suruhanjaya penapis calon ini tidak akan berkompromi dengan bekas wakil rakyat yang kaki ponteng. Hansard Parlimen penggal sebelumnya mesti diteliti secara terperinci adakah wakil rakyat ini proaktif atau hanya sekadar duduk senyap seperti istilah warga Internet ‘menjadi pasu bunga’, yang membawa maksud sekadar berfungsi sebagai perhiasan dewan. Jika calon tersebut sebelum ini kaki buat bising memekak entah apa-apa ketika sidang dewan, markahnya akan dipotong. Setiap calon sama ada calon pertama kali bertanding atau calon penyandang terlebih dahulu mestilah membuat pemeriksaan kesihatan yang membuktikan mereka tiada masalah kronik sama ada fizikal dan mental. Ini saya dengar pada penggal yang lalu ada calon yang sedang sakit teruk pun masih hendak menjadi calon. Kita tidak mahu membazirkan wang rakyat dengan pilihan raya kecil pula jika wakil rakyat yang sakit teruk meninggal dunia, sedang ketika hayatnya ada pun sudah tidak mampu berkhidmat. Jika anda peka anda akan akui perkara ini benar-benar berlaku sebelum ini. Ini sangat perlu dielakkan kerana sebarang PRK akan membabitkan belanja yang besar. Calon yang menghidap sakit kronik tidak layak bertanding dan mesti ditolak mentah-mentah. Sebarang rayuan tidak perlu dilayan.

Rekod pergi kenduri kahwin orang kampung, buat ceramah di pentas atau memberi kuliah subuh di masjid, potong reben di majlis perasmian tidak termasuk dalam kategori untuk dinilai. Tiada markah bonus untuk itu.

Tidak kurang pentingnya untuk ditapis ialah umur dan berapa kali hendak bertanding. Untuk mengelak daripada berlakunya muflis idea di peringkat pembuat dasar, eloklah seorang wakil rakyat dibenarkan berkhidmat selama dua penggal sahaja. Jawatan Yang Berhormat tidak perlu dipegang sampai mati. Cukup dua penggal automatik mesti lepaskan jawatan. Jawatan Yang Berhormat juga bukan jawatan yang boleh diwarisi kerusi tersebut kepada anak-beranak sendiri. Jika ada isteri atau anak bekas YB hendak bertanding mestilah di kawasan lain, bukan di kawasan yang pernah disandang bapanya. Garis panduan suruhanjaya penapis calon ini mestilah menetapkan umur maksimum layak bertanding tidak melebihi 60 tahun. Dasar suruhanjaya ini untuk melahirkan calon-calon yang segar.

“Ha! Ha! Ha!” kawan saya, seorang penyelidik dan penganalisis politik tertawa besar apabila saya menganjurkan cadangan ini. Menurutnya walaupun logik tetapi ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan.

“Pertama, siapakah yang layak menjadi ahli panel ini? Silap-silap atuk-atuk bekas YB yang dah pencen ni yang melobi nak duduk dalam suruhanjaya ini nanti. Maklumlah elaunnya mesti besar,” kata kawan saya sambil meneruskan ketawanya.

“Silap-silap,” tambahnya lagi setelah ketawanya reda, “sebuah suruhanjaya bebas perlu ditubuhkan lagi bagi memantau suruhanjaya penapis calon pilihanraya ini yang belum terjamin ketelusannya, dan sebuah lagi suruhanjaya bebas perlu ditubuhkan untuk memantau pula suruhanjaya pemantau ini.”

Kali ini saya pula tertawa. Barangkali inilah keunikan tersendiri budaya politik kita. Ada sisi lucunya. Apa tidak lucunya, ada calon yang saat akhir tidak jadi bertanding kerana mendapat pesanan dari arwah ibunya melalui mimpi agar tidak berbuat sedemikian. Sukar juga ahli panel penilai calon untuk menangani kes begini. Namun saranan Abdul Samad Ismail ini bagi saya cukup baik jika dilihat dari sudut positif dan saya optimis suatu hari nanti tidak mustahil keperluan untuk ia ditubuhkan akan tiba memandangkan perkembangan politik mutakhir ini cukup menjurus ke arah itu. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.