Monday, November 28, 2022

Bomba selamat 10 sekeluarga terperangkap akibat kepala air

 

Anggota bomba menggunakan tali untuk membawa mangsa yang terperangkap ke seberang sungai. (Gambar Bomba)

PETALING JAYA: Satu keluarga yang beriadah di Air Terjun Sungai Pinang, Batang Kali, di Hulu Selangor terpaksa diselamatkan bomba selepas terperangkap dalam kejadian kepala air, hari ini.

Keluarga yang terdiri daripada 10 orang yang berusia enam hingga 63 tahun itu terperangkap di lokasi air terjun berkenaan selama hampir empat jam sebelum diselamatkan bomba, lapor Berita Harian.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 4.36 petang dan terus menggerakkan sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu.

“Berdasarkan laporan awal, terdapat 10 mangsa terdiri daripada empat kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan dilaporkan terperangkap.

“Manakala dua lelaki dan dua wanita pula masih berada di seberang sungai akibat kepala air yang mengalir daripada hulu sungai,” katanya yang menambah semua mangsa berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami kecederaan.

Menurutnya, pihak bomba menjalankan operasi menyelamat kesemua mangsa yang berasal dari Sungai Buloh itu.

“Anggota bomba berjaya pergi ke seberang sungai dan memindahkan mangsa ke tempat selamat. Semua mangsa berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba pada jam 8.21 malam,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.