Friday, November 4, 2022

PRU15: BN tanding Parlimen Beluran, kata Bung Moktar

 

Pengerusi BN Sabah Bung Moktar berkata Benedict Asmat menjadi taruhan gabungan itu di kerusi yang disandang Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee sejak lima penggal lalu. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) akan bertanding di kerusi Parlimen Beluran pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dengan meletakkan bekas presiden Majlis Perbandaran Sandakan Benedict Asmat sebagai calon.

Ini bermakna BN Sabah dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masing-masing bertanding di 12 dan 13 kerusi Parlimen keseluruhan.

Beliau bakal bertanding di kerusi yang disandang Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee yang juga menteri pertanian dan industri makanan sejak lima penggal lalu.

Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin dalam satu kenyataan malam tadi turut mengumumkan calon baharu bagi kerusi Parlimen Kalabakan iaitu Pembantu Menteri Belia dan Sukan negeri Andi Muhammad Suryady Bandy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Pada Rabu, Bung Moktar menamakan Ketua Pemuda Umno Kalabakan Aslan Fadli Samsul Alang sebagai calon Parlimen Kalabakan, sebelum menamakan calon baharu malam ini.

“BN Sabah yakin kedua-dua calon berlatarkan pendidikan tinggi, berkelayakan profesional serta bersedia berkhidmat mampu menggalas amanah mewakili kepentingan rakyat apabila dipilih kelak,” katanya.

Benedict adalah anak jati Beluran berkelulusan sarjana muda sastera dalam antropologi dan sosiologi, Universiti Malaya dan pernah memegang jawatan penting antaranya penolong pegawai daerah Beluran pada 1991-2010, juga kini naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah.

Andi pula anak jati Kalabakan, berkelulusan sarjana muda kejuruteraan awam, Universiti Teknologi Malaysia dan pernah bertugas sebagai jurutera di beberapa syarikat kejuruteraan terkemuka negara sebelum berkecimpung dalam dunia perniagaan.

Kerusi yang ditanding BN ialah Kota Belud, Sepanggar, Putatan, Kimanis, Beaufort, Tenom, Kinabatangan, Libaran, Lahad Datu dan Kalabakan dan Pensiangan.

Sementara GRS bertanding di Kudat, Sipitang, Papar, Ranau, Beluran, Batu Sapi, Semporna, Kota Marudu, Tuaran, Kota Kinabalu, Keningau, Penampang dan Tawau. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.