Sunday, November 6, 2022

Rumah baharu nenek Rohana bukti ‘kasih sayang’ rakyat Malaysia

 

Pesara kerajaan Rohana Mahfuz, 77, menunjukkan gambar lama rumah pusaka keluarganya berusia 53 tahun sebelum hanyut dilanda banjir besar, pada 18 Dis 2021.

HULU LANGAT: Tanggal 18 Dis 2021 memahat memori hitam buat warga emas Rohana Mahfuz apabila rumah pusaka keluarganya berusia 53 tahun hanyut dilanda banjir besar, di Batu 18, Kampung Jawa di sini.

Hanya tinggal tangga batu untuk menjadi ingatan. Kisahnya mendapat perhatian ramai termasuk aktivis masyarakat, Ebit Lew, yang bersimpati dengan nasib pesara kerajaan itu yang tinggal sehelai sepinggang.

Bantuan daripada pelbagai pihak diterima wanita berusia 77 tahun itu membolehkan kerja membina semula rumahnya di tapak sama dapat dimulakan.

Selepas hampir setahun, kemajuan pembinaan rumahnya mencecah 90%. Jika tiada aral melintang, mungkin pada Januari atau Februari tahun depan Rohana dapat berteduh di rumah baharu.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Rumah pusaka milik keluarga Rohana yang berusia 53 tahun sebelum hanyut dibawa banjir besar, pada 18 Dis 2021.

Terharu sumbangan ramai

Meskipun gembira, namun hatinya sebak diiringi linangan air mata setiap kali melihat rumah dengan reka bentuk moden itu. Bukan sedih mengenang kejadian bah besar tempoh hari, tetapi terharu dengan curahan kasih sayang rakyat Malaysia.

“Setiap kali tenung rumah baharu ini, nenek menangis sebab ini adalah tanda kasih sayang orang ramai yang langsung tak kenal nenek, tetapi sudi membantu beri sumbangan, untuk nenek kembali ada rumah.

“Terima kasih pada semua orang termasuk Ustaz Ebit Lew yang bantu nenek. Sekarang nenek tak nak rumah besar, cukup untuk nenek berteduh dari hujan panas,” katanya kepada FMT.

Rohana memberitahu keluasan rumah baharu itu hanya satu per empat daripada saiz asal, sengaja dipilihnya kerana hanya tinggal bersendirian, mudah dijaga dan senang beribadat.

Hanya tinggal tangga batu menjadi ingatan buat Rohana terhadap rumah pusaka keluarganya yang hanyut dilanda banjir besar, pada 18 Dis 2021.

Sementara menunggu rumah itu siap, Rohana menghuni sebuah kabin yang dilengkapi dapur dan tandas.

Pasrah hadapi bah

Ditanya tidakkah dirinya takut apabila tiba musim tengkujuh yang boleh menyebabkan Hulu Langat dilanda banjir, Rohana hanya menjawab, dirinya sudah pasrah.

“Banjir, hujan, angin, ribut, kita tak boleh tahan. Nenek sudah harungi hujan banjir sudah berpuluh tahun. Bila kena banjir yang paling besar tahun sudah, nenek dah tak rasa apa-apa.

“Kalau nenek sempat selamatkan diri, nenek usahakan. Kalau nak ‘dibawa balik’ sekarang pun, nenek reda sangat,” ujarnya sebak.

Rohana sengaja membina rumah yang lebih kecil berbanding rumah asal kerana beliau tinggal bersendirian, mudah dijaga dan senang beribadat.

Hanyut dibawa banjir

Rohana turut mengimbas kembali kejadian bah besar pada 18 Dis lalu. Ceritanya, ketika itu beliau sedang menunggu waktu solat Isyak dan mendengar bunyi air sungai.

Menjangkakan banjir akan berlaku, Rohana bergegas mengalihkan kereta dan selepas 10 minit, air di kawasan rumahnya sudah naik ke paras dada.

“Nenek hanyutkan diri untuk capai pokok depan rumah, selepas dapat berpaut nenek gagahkan diri untuk ke jalan bagi mendapat pertolongan.

“Nenek tumpang rumah atas bukit seberang jalan. Sekitar jam 12 tengah malam terdengar bunyi pokok tumbang dan bunyi zink…nenek hanya mampu kata ‘Allah, rumah aku’,” katanya sebak.

Sementara menunggu rumah baharunya siap, Rohana menghuni sebuah kabin yang dilengkapi dapur dan tandas.

Keesokannya ditemani jiran Rohana turun melihat keadaan rumahnya. Hati terkedu melihat rumah warisan keluarga itu hanya tinggal tangga batu dan sebatang tiang sahaja.

“Belakang rumah nenek ada sungai dan jambatan konkrit. Nenek agak, pokok-pokok balak hentam jambatan tu sehingga runtuh sebelum rempuh rumah nenek.

“Waktu jambatan runtuh, orang kampung kata bunyi kuat sangat macam bukit runtuh,” cerita kakak sulung kepada tujuh adik beradik itu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.