Tuesday, November 29, 2022

Selangor bukan negeri selamat PH menjelang PRN, kata penganalisis

 

Kerjasama BN-PH dalam kerajaan perpaduan juga bakal memberi kesan terhadap pola pengundian, menjelang pilihan raya negeri (PRN) Selangor kelak, menurut penganalisis.

PETALING JAYA: Selangor tidak boleh lagi dianggap kubu selamat Pakatan Harapan (PH) yang bakal menyaksikan pertembungan sengit di kawasan majoriti pengundi Melayu, pada pilihan raya negeri (PRN) tahun depan, kata penganalisis.

Mereka berpendapat ia susulan kejayaan Perikatan Nasional (PN) merampas beberapa kerusi Melayu seperti Kapar, Kuala Langat, Hulu Selangor dan Tanjong Karang, selain mengekalkan kemenangan di Sabak Bernam serta Sungai Besar.

“Sudah pastinya keputusan PN untuk tidak bersama PH dan BN dalam membentuk kerajaan persekutuan juga akan memberi kesan dalam pola pengundian.

“Pengundi sudah tentu akan memilih sama ada PH atau PN terutama bagi kawasan yang mempunyai majoriti penduduk Melayu Islam dan yang jelas akan terkesan adalah Umno yang bersama PH.

“Ini akan menyaksikan pertembungan lebih sengit di Selangor,” kata Noor Nirwandy Mat Noordin kepada FMT.

Pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), enam negeri – Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan memutuskan tidak mengadakan pilihan raya serentak dengan Parlimen.

Tempoh penggal lima tahun bagi enam DUN berkenaan berakhir, pada Mei depan.

Nirwandy berkata, penerimaan penyokong kedua-dua blok Barisan Nasional (BN) dan PH susulan kerjasama di peringkat pusat juga dijangka diterjemahkan dalam pola pengundian, pada PRN Selangor tahun depan.

“Kerjasama kali pertama dalam sejarah negara antara PH dan BN menarik untuk diberi tumpuan. Sudah tentu ia akan mengubah pola pengundian pada PRN kali ini sama ada akan berlaku kecenderungan baru, sama ada orang Melayu terus berpaut kepada Umno atau memilih PAS sebagai bentuk parti Melayu Islam.

“…dan penyokong PH juga akan melihat kesannya sama ada mereka bersetuju atau mengambil langkah berkecuali atau mengubah pola pengundian (undi protes),” katanya.

Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berpandangan kerjasama PH dan BN di peringkat pusat tidak akan diteruskan pada PRN depan.

Katanya, sekiranya BN dan PH bergabung, ia membuktikan BN sudah lemah dan memerlukan sokongan PH untuk meraih undi.

“Kalau BN bergabung dengan PH nampak sangat BN menagih simpati, nampak sangat BN lebih lemah memerlukan sokongan PH walaupun mereka boleh bekerjasama di Perak dan Pahang,” katanya.

Namun, Azmi berkata, BN masih mempunyai masa membuktikan gabungan itu merupakan parti teras pengundi Melayu, walaupun PN mendapat sokongan sebahagian besar pengundi Melayu, namun masih gagal menjadi kerajaan.

“Dalam PRU lepas walaupun sebahagian besar pengundi Melayu mengundi PN, tetapi mereka masih gagal menjadi kerajaan walaupun 30% sahaja mengundi BN.

“Jadi, pada PRN nanti masih ada masa lagi untuk memujuk 20 hingga 30% pengundi PAS (mengundi BN) kerana mereka (PN) gagal jadi kerajaan, kerana bila gagal jadi kerajaan sukar untuk menjaga kepentingan orang Melayu Islam,” katanya.

Beliau berkata, penolakan besar-besaran terhadap PH atau BN juga tidak akan berlaku pada PRN itu memandangkan kerajaan pusat didominasi PH, menjadikan kerajaan negeri sealiran seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang bertambah kuat. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.