Thursday, December 1, 2022

Bahaya parti ekstrem

 

Terdapat keperluan untuk kita memeriksa bahagian dalam masyarakat sekiranya ada dalam kalangan kita tiba-tiba menjadi ekstrem dan tidak semena-mena mencambahkan ekstremisme.

Apa pun alasan mereka untuk menjadi pelampau, misalnya menuduh orang lain fobia kepada Islam, tidak boleh diterima. Itu hanyalah alasan untuk menghalalkan tindak-tanduk keterlaluan mereka.

Yang paling mudah menjadi ekstrem ialah gerakan atau parti atas nama agama, di mana pun mereka berada di pelusuk dunia. Itulah puncanya pada 1981, Sheikh Yusuf Qaradhawi menulis sebuah esei pendek menolak kekerasan. Ini sebagai respon kepada kebangkitan ekstremisme dalam kalangan anak muda di Mesir. Meskipun ditulis untuk khalayak Mesir, ia nampaknya dapat menjadi cerminan keadaan di mana pun, khusus negara umat Islam.

Sebagai seorang ulama rujukan dunia Sunni, Qaradhawi percaya Islam haruslah sentiasa di tengah. Dalam erti kata lain, gerakan Islam haruslah menjadi ‘sentris’ dan tidak terlalu memaksakan di kanan. Ini kerana lain dari tengah itu akan membawa umat kepada bahaya dan ketidakselamatan. Islam menurut Qaradhawi harusnya moderat yang jalannya lurus iaitu “al-sirat al-mustaqim”. Beliau mengupas panjang lebar perihal ayat ‘jalan yang lurus’ ini. Islam harusnya “wasatiyyah”.

Dalam esei beliau yang monumental itu, Qaradhawi berhujah dengan pelbagai dalil dan ayat suci, demi memujuk anak muda supaya tidak terjatuh gaung ekstremisme. Qaradhawi menghuraikan antara lain ekstremisme dalam Islam itu membentuk sebagai pertamanya; “ghuluw” (berlebih-lebihan); keduanya, “tanattu'” (melampau dalam beragama termasuk cerewet dengan hal ranting) dan; “tashdid” iaitu ketegasan atau kejumudan yang keterlaluan.

Masalah dengan ekstremisme menurut ulama ini adalah ia menyebabkan umat terdedah kepada ketidakmampuan untuk menerima, mencerap, dan bertoleransi. Ia mendorong umat kepada sesuatu yang berlebihan. Ia membawa umat kepada perlawanan sesama sendiri yang tidak perlu.

Secara falsafahnya, menurut Qaradhawi, ekstremisme ini tidak dapat hidup lama lantaran kebolehdayaan manusia menerima sesuatu yang berlebihan itu amat terhad. Justeru, kita harus bersederhana. Misalnya, kita tidak dapat memaksakan anak-anak kita mencerna atau melakukan sesuatu lebih dari daya yang ada.

Apabila ekstremisme didakap dan diguna pakai dalam kerangka negara, maka ia akan mulai melanggar dan menabrak hak-hak dan tanggungjawab orang lain. Hal inilah yang menyebabkan ada komponen dalam masyarakat, katakan yang bukan Islam, berasa gerun. Lebih mengkhuatirkan apabila ekstremisme menjadi-jadi dalam bentuk “takfiri” (mengkafirkan orang, menghantar orang lain ke neraka). Jika kita menghubungkan dengan sejarah umat Islam masa lalu, ia satu bentuk neo-khawarijisme.

Saeed Rahnema daripada Universiti York dalam esei akademiknya “Radical Islamism and Failed Developmentalism” menyatakan radikalisme dan ekstremisme Islam ini bermula di rantau India-Pakistan menerusi gerakan Abul-Ala Mawdudi (1903–1979) dalam bentuk Jama’at-e-Islami, sejak 1941. Mawdudi mentafsirkan semua perkara dalam agama dalam bentuk memobilisasikan umat ke arah negara Islam.

Apa yang bertentangan dengan pandangan Qaradhawi mengenai “wasatiyyah” adalah ‘mengislamkan’ masyarakat secara gesa. Banyaknya seruan secara gesa ini terserlah dalam kandungan TikTok sejak akhir-akhir ini; di mana para penceramah tanpa saring sesedap rasa mengajarkan hal agama secara langsung di media sosial ini. Gesa ini mempunyai tiga tahap.

Pertama radikalisasi, kedua ekstremisme, dan terakhir ialah terorisme. Tahap pertama iaitu radikalisasi ini berlaku dalam bentuk fikiran di dalam benak. Misalnya anak muda pengguna TikTok akan diminta percaya identiti mereka sedang tergugat oleh pencerobohan ‘orang lain’. Fitnah akan mengatasi fakta. Idea-idea radikal yang mengancam kewujudan bernegara berkesiuran di mana insiden gerun masa lampau digembar-gembur, sepertinya peristiwa tragis 13 Mei.

Tahap kedua, ia akan mula merebak apabila ia terjelma dalam bentuk ekspresi atau manifestasi. Hal ini terlihat dalam bentuk keratan video TikTok yang dimuatkan. Perasaan, idea, percakapan, tulisan, dan lambang seperti bendera dan panji tertentu untuk menggambarkan perasaan keras dan tiada toleransi mulai kelihatan. Anak muda juga enggan mendengar hujah orang lain dan amat tertutup mindanya. Terdapat status dengan imej yang dapat dihubungkan dengan kekerasan. Apa lebih membimbangkan tanda pagar ini amat seragam dan membawa kepada pihak yang sama.

Tahap ketiga ialah apabila kekerasan berlaku dan hal ini biasanya sukar dicegah. Lebih baik menyekat benih keganasan ini dari ia berterusan. Naudzubillah.

Sebenarnya tidak sukar untuk pihak berkuasa membuat keputusan. Terdapat banyak kajian sosiologi yang melihat akar ekstremisme ini. Sebagai contoh, dalam monograf 2016 beliau yang berjudul “The Extensive Salafization of Malaysian Islam” oleh Ahmad Fauzi Abdul Hamid, profesor sains politik daripada USM ini menghubungkan gerakan takfiri di Malaysia dengan ‘amanat’ seorang pemimpin tertentu.

Tulis Fauzi:

“In the 1980s, the anti-government takfiri climate was fulled by the issuance of an Amanat i.e. published excerpts of a speech, by then PAS state commissioner for Terengganu and present President Abdul Hadi Awang, a Saudi-educated firebrand. The so-called Amanat Haji Hadi effectively apostasized members of the ruling Umno party for retaining an infidel constitution and separating religion and politics. The Amanat was blamed for instigating rebellion against the authorities in Memali, Kedah, in November 1985 when a showdown between security forces and PAS villagers resisting the arrest of their leader, Ibrahim Libya, ended in eighteen deaths.

“Abdul Hadi has never disowned his Amanat. Unsurprisingly, unlike many other orthodox Sunni theologians, he regards Wahhabism as being within mainstream Sunni Islam rather than an aberration if not outright deviant sect.”

Menyinggung kembali Mawdudi, Fauzi menyebut, “…his Madrasah Rusila in Terengganu maintains close educational networks with the Sayyid Maududi International Islamic Institute (SMII) in Lahore, Pakistan, run by Maududi’s Jama’ati Islami movement.” Monograf karangan Fauzi ini boleh diperolehi dalam talian, terbitan ISEAS-Yusuf Ishak.

Awal tahun ini, Ketua Cawangan Counter-Terrorism di Bukit Aman, Normah Ishak, dalam satu webinar berjudul “Next Generation Afghan Alumni? Assessment from Southeast Asia”, mengatakan parti tertentu memuji Taliban untuk menunjukkan diri lebih Islam. Pengiktirafan ini nampaknya disukai dan amat menyeronokkan anak muda yang cenderung kepada radikalisme dan ekstremisme.

Tidak susah menghujahkan seseorang sebagai ekstremis. Nazrul Islam, seorang sarjana yang mengkaji ekstremisme agama mengatakan seorang ekstremis itu selalu tidak rasional dalam pandangan dan perasaan berpolitik, serta amalan agamanya;

“An extremist, especially someone with strong, irrational religious or political feelings.”

Atau dalam erti kata lain, seorang ekstrem itu tidak waras. Bahasa kasarnya, gila atau menggila.

Jika ia terus membawa umat kepada ketidakwarasan, atau gila; maka dia harus dihalang dari terus melakukannya. Biar yang tidak waras atau gila ini cepat dikekang; agar umat harus kekal waras dan siuman.

Kita perlu membangunkan negara. Ini masa kita membetulkan Malaysia. Bukan tambah menghancurkannya. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.