Thursday, December 1, 2022

Jadikan kesalahan hasut kebencian kaum, agama, Putrajaya diberitahu

 

G25 berkata, Malaysia mungkin menjadi negara gagal jika tiada perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: G25 menyarankan Putrajaya menggubal Akta Keharmonian Kaum dan Agama untuk menjadikannya tindakan mencetuskan kebencian kaum atau agama sebagai kesalahan.

Kumpulan pesara kerajaan terkemuka itu berkata, sesetengah ahli politik masih memainkan isu kaum dan agama dalam kenyataan umum atas nama sebagai “penyelamat” Islam serta orang Melayu.

Menurutnya, malangnya sesetengah pemimpin Melayu sederhana tidak tampil menyokong pendekatan inklusif dan berbilang kaum yang diambil Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

“Tindakan mereka berdiam diri menyebabkan perdana menteri kita yang berfikiran reformasi terdedah kepada dakwaan beliau seorang liberal yang mengejar nilai barat demokrasi dan hak asasi manusia.

“Musuhnya malah cuba mengaibkannya dengan mendakwa beliau ada kaitan dengan CIA dan Yahudi. Politik bertahap rendah itu tidak patut dibiarkan saja.

“Bagi tujuan melindungi keharmonian kaum dan agama dalam kalangan rakyat, G25 mencadangkan penggubalan Akta Keharmonian Kaum dan Agama.”

G25 mengucapkan terima kasih kepada gesaan raja-raja untuk ahli politik berhenti menggunakan kaum dan agama menghasut rakyat yang disifatkannya tepat pasa masa serta menggalakkan.

“Kami mempunyai potensi kuat untuk menjadi negara maju sepenuhnya, tetapi jika tiada perpaduan dalam kalangan kaum, kita mungkin menjadi negara gagal.

“Ahli politik kita perlu menerima nasihat raja-raja dengan serius sebagai panduan terhadap tingkah laku politik mereka.”

Semalam, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menggesa ahli politik berhenti menggunakan isu agama atau kaum untuk menghasut rakyat Malaysia.

Ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Raja-raja ke-260 di Istana Negara, baginda menyeru kerajaan baharu memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia berbilang bangsa, agama dan budaya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung menggesa kerajaan memperkenalkan Akta Antikebencian susulan pelbagai kenyataan didakwa menghasut daripada pemimpin PAS.

Bendahari agung PKR itu berkata, serangan itu bermula beberapa bulan sebelum pilihan raya umum ke-15 dan ia bertambah teruk selepas pembubaran Parlimen dan Perikatan Nasional gagal membentuk kerajaan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.