Thursday, December 1, 2022

Julai waktu sesuai adakan PRN, kata bekas timbalan pengerusi SPR

 

Wan Ahmad Wan Omar berkata jarak masa yang panjang hingga Julai secara tidak langsung dapat memberikan kelegaan kepada rakyat selepas terbeban dengan ketegangan PRU15 lalu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pilihan raya negeri (PRN) melibatkan enam negeri sesuai diadakan pada Julai tahun depan, kata bekas timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Wan Ahmad Wan Omar.

Ini kerana, menurutnya, tempoh berkenaan dianggap terbaik memandangkan kebanyakan jemaah haji sudah kembali ke tanah air selepas mengerjakan ibadah di Mekah.

Enam negeri yang perlu diadakan PRN ialah Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Pada masa sama, Wan Ahmad menjelaskan, jarak masa yang panjang hingga Julai secara tidak langsung dapat memberikan kelegaan kepada rakyat selepas terbeban dengan ketegangan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) lalu.

“PRU15 baru sahaja selesai, jadi tidak sepatutnya selepas tiga atau empat bulan ada PRN pula. Keadaan ini hanya akan membangkitkan kemarahan rakyat kerana kempen politik dan perang poster yang berterusan mengganggu ketenteraman hidup mereka.

“Jika asyik berkempen, bilakah pemimpin mahu menumpukan kepada agenda kestabilan politik dan pemulihan ekonomi? Bagi saya dunia politik kini sudah melangkaui kewarasan kerana para pemimpin melakukan perkara yang merugikan rakyat dan wang negara,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Terdahulu, beliau memaklumkan, lebih 10,000 pengundi berdaftar terlepas peluang menunaikan tanggungjawab mengundi jika PRN di enam negeri diadakan pada musim haji tahun depan.

Katanya, jumlah itu melebihi separuh daripada kuota jemaah haji kira-kira 30,000 orang yang ditetapkan di negara ini, setiap tahun.

Wan Ahmad berkata, kos pilihan raya di enam negeri itu boleh melebihi RM500 juta jika PRN diadakan secara berasingan.

Sehubungan itu, katanya, Pakatan Harapan (PH) dan PAS perlu bersepakat agar PRN dibuat serentak bagi mengelak dua siri PRN di negeri-negeri diterajui mereka sekali gus menjimatkan masa, wang, tenaga selain memudahkan pihak SPR menjalankan tugasan.

“Kos keseluruhan PRN di enam negeri itu dianggarkan RM450 juta tetapi jika dibuat berasingan iaitu di negeri PH dan kemudian di negeri PAS, maka perbelanjaan akan bertambah hampir RM100 juta lagi.

“Pertambahan kos itu melibatkan bayaran elaun dan program latihan kepada kira-kira 150,000 petugas pilihan raya termasuk perbelanjaan pengangkutan, bangunan dan kelengkapan,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.