Saturday, December 31, 2022

Ucap dengan doa dan harapan

 

Lebih senang ucap Selamat Tahun Baru daripada Happy New Year. Pada hemat saya dalam Bahasa Melayu ucapan itu membawa harapan. Mengharap atau mendoakan tahun baru disambut semua dalam keadaan selamat sepanjang tahun. Semua maksudnya rakyat dan negara.

Kalau Happy New Year ertinya ucap bahagia dan suka, atau semoga ‘hepi-hepi’ untuk tahun baharu. Tetapi bagaimana kalau apa yang menunggu di tahun baharu mengikut ramalan bukan yang “happy-happy”?

Ketika saya menulis artikel ini kes dan kematian akibat Covid-19 terus turun. Alhamdulillah, ini berita baik.

Kita berasa selesa bahkan lebih daripada selesa. Terlalu selesa menjalani hidup harian. Kita termasuk saya sendiri tidak tahu berapa jumlah kes baharu Covid. Tidak seperti dahulu. Ingat ketika itu kita setiap petang menunggu dengan penuh debaran statistik yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan.

Dapat sahaja kita terus kongsi dengan saudara mara, sahabat handai yang pada hal sudah pun memperolehi statistik berkenaan terlebih dahulu. Kerap juga kita sesama sendiri berkongsi maklumat sama.

Itu kita sudah tak buat. Mungkin kita sekarang ‘susah’ nak dapat akses – pada hal maklumat boleh diperolehi MySejahtera. Aplikasi itu sudah jarang atau tidak kita gunakan sama sekali. Mungkin kita sudah tak peduli. Media juga tidak menyiarkan statistik tu lagi. Susah juga untuk menyalahkan mereka kerana mungkin jumlah kes dan kematian bukan lagi berita besar. Pembaca dah tak minat.

Keadaan hampir pulih. Pakai pelitup muka juga bukan wajib lagi. Namun Covid-19 masih ada. Kes tidak banyak namun masih ada yang dijangkiti. Ada yang terpaksa masuk hospital. Masih ada yang meninggal dunia kerana Covid-19. Ertinya Covid-19 masih ada dalam kalangan kita. Ia belum pergi. Itu realitinya.

Lantas kita mesti terus berjaga-jaga dalam menjalani hidup harian. Tidak perlu panik. Hanya jangan leka jangan cuai.

Sekarang keadaan di China khabarnya membimbangkan. Menurut laporan agensi berita antarabangsa ada ledakan kes di sana. Dilaporkan mungkin China akan menyaksikan satu juta kematian tahun depan. Hospital penuh dengan pesakit. Situasi yang menyedihkan dan membimbangkan.

Akibat demonstrasi besar-besaran rakyat membantah peraturan sangat ketat yang dikenakan pihak berkuasa, Beijing menamatkan dasar Covid sifar. Ia membuka sempadannya. Warga boleh ke luar negara.

Lantas mereka pasti “travel”. Pertengahan Januari ini perayaan Tahun Baru Cina. Berjuta akan mengembara ke luar negara, apatah lagi ke pelusuk China.

Ini mencetus kebimbangan gelombang baharu akan tersebar ke seluruh dunia.

Pada 2019 apabila China dilanda Covid kita percaya ia ‘hanya satu masalah China’.

Tetapi sekarang banyak negara sudah bersiap sedia, termasuk Malaysia. Kementerian Kesihatan sudah merangka pelan menangani masalah ini. Langkah memantau khususnya kemasukan pelancong diberitakan sudah dilaksana.

Menteri Kesihatan Zaliha Mustafa juga mengumumkan vaksin penggalak bagi warga emas sekarang boleh didapati secara “walk-in” tanpa perlu temujanji. Boleh dikatakan semua atau kebanyakkan fasiliti yang ditutup akan dibuka semula. Sebagai langkah berjaga-jaga.

Kita yakin akan kebolehan Zaliha (seperti kita yakin akan Dzulkelfy Ahmad dan Khairy Jamaluddin dahulu), Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah dan pasukanya serta semua barisan depan kita.

Seperti dikatakan tadi pelbagai langkah sudah diumum. Ada yang sudah dikuatkuasakan. Yang wajib “to see it through”. Setiap arahan mesti mengalir ke setiap peringkat. Para petugas mesti disokong semua pihak, termasuk kita rakyat. Tugas dan tanggungjawab mereka berat. Tidak perlu mereka dibebani lagi dengan karenah, perkara remeh-temeh, dan sebagainya .

Beralih ke laporan AFP mengenai ekonomi yang wajar diberi perhatian. Menurut laporan itu tahun ini sepatutnya tahun kemunculan semula atau “comeback year” buat ekonomi dunia selepas pandemik.

Sebaliknya, tahun 2022 ditandai dengan perang baharu ( Russia-Ukraine ), loncatan tinggi inflasi ke tahap mencatat rekod, dan malapetaka berkaitan iklim. Mengikut istilah yang dipopularkan oleh ahli sejarah Adam Tooze, ia tahun “polycrisis” atau tahun pelbagai krisis.

Memetik pakar, laporan AFP itu memberi amaran: Bersedia lah untuk lebih banyak berita sedih. Siap sedia untuk keadaan suram. Saya tidak bercadang menghuraikan satu persatu apa yang suram kelak. Kesimpulannya ekonomi buruk diramal menunggu pada 2023. Ekonomi dunia ertinya termasuk Malaysia.

Tentu kerajaan tahu akan semua ini. Tentu sudah ada pelbagai rancangan digubal bagi menghadapi masalah itu. Jika belum, rancang lah sekarang.

Seperti memerangi Covid-19, tugas dan tanggungjawab menghadapi masalah ekonomi amat besar dan berat. Kerajaan memerlukan sokongan setiap pihak untuk menghadapi cabaran mendatang.

Jika ada yang tidak mahu sokong berpeluk tubuh lah. Tidak mengapa. Asalkan jangan ganggu-gugat kerajaan. Jangan ada “distraction”. Berilah ia ruang melaksanakan tugas. Tak payah lah dihurai apa yang tersurat dan tersirat.

Berdasarkan ramalan suram ekonomi dan kebimbangan terhadap Covid-19, bagaimana mahu ucap Happy New Year? Namun saya ucapkan juga. Selamat Tahun Baru diiringi doa semoga kita tabah mengharungi gelora dan akan mengatasinya. Bersama.

Semoga 2023 membawa kebahagiaan, kejayaan, dan kecemerlangan buat semua. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.