Friday, March 31, 2023

Apabila ayam berkokok sampai ke petang

 

Lazimnya ayam jantan berkokok ketika pagi. Jarang di kota, cuma di desa jauh daripada kekalutan kota. Tetapi apabila ayam jantan berkokok sampai ke petang itu tandanya ia sedang mencari pasangan atau menjadi habuan lauk gulai tuannya.

Nampaknya di negara ini kita akan dengar kokokan ayam sampai ke petang saban hari sekurang-kurang sampai Jun atau Julai, apabila PRN diadakan.

Kokokan politik yang berterusan akan merimaskan. Tambah lagi apabila ia sambung-menyambung. Hakikatnya suasana politik masih belum “settle down”. Kenyataan politik beberapa pemimpin jelas ada usaha mahu menukar lagi kerajaan.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Selagi ini tidak “settle down” selagi itulah projek-projek untuk manfaat rakyat akan tertangguh. Cuma yang riuh mengenai siapa yang hendak dipersalahkan, kenapa projek jadi melampau bajetnya, kenapa “direct nego” tanpa tender dan macam-macam lagi.

Tidak lama lepas ini, rakyat akan berdepan lagi dengan musibah banjir sebab projek tebatan banjir tidak tahu hujung pangkalnya. Lebuhraya Grik-Jeli masih berlopak teruk, entah berapa lawatan tapak dibuat, pengguna masih berdepan dengan bahaya yang tidak diduga.

Kerajaan tidak dapat “move on” angkara terikat dengan komitmen untuk membersihkan daki-daki politik sebelum PRU15. Rata-rata kita ingat selepas PRU15, rakyat akan mula merasakan sedikit perubahan atau sekurang-kurangnya boleh menarik nafas lega kalau pun tidak 100%. Tetapi jauh api dari panggang.

Rupanya gelagat di Dewan Rakyat juga tidak menjanjikan kehidupan yang lebih baik kepada rakyat tetapi ahli Dewan sibuk menjerit, menggelar nama-nama haiwan kepada ahli lain. Buang masa.

Jadi nak harapkan siapa? Arau cuba mencuri tumpuan dengan live TikTok nya tetapi kemana mahu rakyat dibawa? Ucapannya penuh dengan “sarcasm” dan berulang mengatakan tidak lama lagi beliau akan “duduk di sebelah sana”.

Yang paling jadi tumpuan ialah PM mana yang dapat masuk Kaabah, PM mana yang dapat jumpa raja Saudi. Benda ini “non-issue”. Sejak zaman Tun jadi PM lagi lawatan ke Arab Saudi selalu ada perubahan “last minute”. Sama ada jadual mesyuarat atau pertemuan dua hala.

Ketika menulis artikel ini selepas solat Tarawih, ketua menteri Melaka pula meletak jawatan. Apa lagi selepas ini, tanya rakyat.

Pemimpin lebih fokus mengatur masa depan bagi menentukan mereka terus berkuasa. Rakyat kena tunggu kejap. Tetapi rakyat hendak tahu berapa lama lagi.

Selepas PRN selesai pertengahan tahun ini, apa lagi kejutan akan dibuat. Apakah percaturan politik akan selesai? Belum. Ia bergantung kepada kepada gabungan mana yang menang. Percaturan juga nanti berbeza. Tidak akan sama seperti yang dirancang.

Ini bukan lagi kes pening-pening lalat tetapi dah sampai ke tahap migrain. Menu Rahmah belum cukup tangani masalah rakyat. Kena ada banyak ide lagi untuk membantu kehidupan rakyat kembali pulih. Sebab tahun mendatang masih muram.

Rakyat tidak kisah siapa KM Melaka yang baru. Mereka cuma fikir mana nak cari wang untuk bayar yuran semester anak mereka di universiti. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.