Sunday, April 30, 2023

Rentas sempadan pada PRN kali ini

 

Shahidan Kassim ke Semenyih pada PRN kali ini? Riuh orang bercakap. Orang Semenyih kenal baik ke dengan MP Arau ni? Rentas sempadan bukan isu besar lagi sekarang ni. PMX dari Permatang Pauh ke Port Dickson kemudian ke Tambun. Itu Anwar Ibrahim, ini Shahidan Kassim. Tak sama kan?

Senario politik di Perlis jauh bezanya daripada di Selangor. Suasananya lebih tegang dan berapi di Selangor. Isunya tidak banyak di Perlis. Rakyatnya tidak disulitkan dengan perbalahan politik yang kacau-bilau. Sehari pusing dari Guar Sanji ke Kampung Wai, selesai masalah jumpa rakyat.

Shahidan dilihat sebagai aset politik PN pusat. Bukan saja popular di Perlis tetapi boleh meraih sokongan luar daripada negeri Indera Kayangan itu. Bolehlah orang Semenyih makan buah mempelam Harum Manis. Tetapi tidaklah sampai menjadi calon menteri besar Selangor pula.

Kalaulah Shahidan pula dicalonkan sebagai MB, kat mana pula nak diletakkan Azmin Ali, atau Khairy Jamaluddin yang juga ada ura-ura akan bertanding di Selangor atas tiket PN? Rumitlah sikit strategi Perikatan Nasional Selangor.

Logiknya, Azmin paling layak jadi calon MB. Pernah jadi MB, Adun Bukit Antabangsa, orang Selangor, pengundi Hulu Kelang. Takkan nak tawar jawatan MB pada KJ? Memang KJ popular, ada pengalaman jadi menteri, calon Sungai Buloh pada PRU15 lalu, prestasinya cemerlang walaupun kalah. PN tentunya tidak mahu ada pergeseran baharu.

KJ memang bersedia untuk bertanding PRN. Bekas menteri kesihatan ini memang lebih realisitik. Dia banyak memberi reaksi positif kepada tindakan PMX jika ia memberi menafaat kepada rakyat. Katanya, dia mahu merasa pengalaman baharu berkhidmat di peringkat negeri. Cuma yang menjadi teka-teki rakyat ialah KJ mewakili parti atau gabungan mana. PAS atau BERSATU untuk PN atau PKR untuk PH?

Mungkin KJ masih tarik tali jawatan yang ditawarkan. Takkan yang biasa-biasa sahaja. Tentulah yang boleh membawanya lebih tinggi dalam kerjaya politik. Atau pun sudah sah, cuma rakyat belum tahu.

Orang kata KJ ada “material” untuk menjadi perdana menteri. Dahulu landasannya ialah Umno. Kali ini dia bebas memilih pentas baharu. Tidak kira samada PKR, Bersatu, atau PAS, terpulang kepada parti yang memberi ruang untuk nya bergerak ke atas. Tetapi ini bukan gerakan mudah. Ada ramai yang akan menghalang.

Ads by Kiosked

Kalau Azmin jadi pilihan PN di Selangor, KJ jadi kacau daun jika turut bertanding di negeri yang sama. Mungkin Negeri Sembilan jadi satu lagi pilihan. Kena cari kerusi yang selamat jika PN pasti dapat gegarkan Negeri Sembilan. Kalau KJ menang tetapi PN gagal kuasai kerajaan negeri, KJ tak ke mana juga. Kalau ada tawaran PH, KJ nak timbang ka?

Tetapi tak mungkin PKR nak tawar kerusi negeri pada KJ. Tentunya Zahid dan Tok Mat tak setuju. Tetapi kalau ini strategi PMX untuk meletakkan calon yang boleh memenangkan parti, Zahid kena setuju sebab KJ bukan lagi mewakili Umno. Kuasa bukan segala-galanya. Barulah boleh digelar kerajaan madani.

Amanah dan Umno bekerja keras untuk memberitahu rakyat Kedah bahawa PN memang tidak layak jadi kerajaan negeri. Sanusi tidak cekap memerintah dan rakyat perlu berubah semula kepada Umno dan menerima rakan baharu mereka bersama PH.

Kali ini Umno datang ke Kedah bersama sahabat baharu, Amanah, PKR, dan DAP. Mungkin elemen PMX akan melembutkan penerimaan rakyat Kedah terhadap PH tetapi perjalanannya bukan mudah. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.