Monday, May 1, 2023

23% pekerjaan dijangka berubah dalam tempoh 5 tahun akan datang, lapor WEF

 

Laporan Forum Ekonomi Dunia itu juga itu menekankan, bagi menangani krisis kos sara hidup, 36% syarikat menyedari bahawa menawarkan gaji yang lebih tinggi boleh membantu menarik tenaga kerja.

KUALA LUMPUR: Hampir satu perempat atau 23% daripada pekerjaan dijangka berubah dalam tempoh lima tahun akan datang menerusi pertumbuhan 10.2% dan penurunan 12.3% pekerjaan, demikian menurut satu laporan daripada Forum Ekonomi Dunia (WEF).

Laporan bertajuk ‘The Future of Jobs Report 2023’ itu menghimpunkan perspektif 803 syarikat yang secara kolektifnya menggaji lebih 11.3 juta pekerja dalam 27 kelompok industri dan 45 ekonomi dari semua rantau di dunia.

Laporan itu menunjukkan bahawa majikan menjangkakan 69 juta pekerjaan baharu akan diwujudkan dan 83 juta disingkirkan dalam kalangan 673 juta pekerjaan yang sepadan dengan set data, penurunan bersih sebanyak 14 juta pekerjaan, atau dua daripada pekerjaan semasa.

Ads by Kiosked

Aliran makro, termasuk standard peralihan hijau, alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan penyetempatan rantaian bekalan merupakan pemacu utama pertumbuhan pekerjaan, dengan cabaran ekonomi termasuk inflasi yang tinggi, pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan dan kekurangan bekalan mencetuskan ancaman terbesar.

“Memajukan penggunaan teknologi dan peningkatan pendigitalan akan menyebabkan pergolakan pasaran buruh yang ketara, dengan keseluruhan positif bersih dalam penciptaan pekerjaan,” kata WEF dalam satu kenyataan hari ini.

Pengarah WEF, Saadia Zahidi berkata perlu ada pelan tindakan jelas untuk memastikan daya tahan.

“Kerajaan dan perniagaan mesti melabur untuk menyokong peralihan kepada pekerjaan masa depan melalui struktur pendidikan, kemahiran semula dan struktur sokongan sosial yang boleh memastikan individu benar-benar terlibat,” katanya.

Menurut laporan itu, syarikat melaporkan bahawa jurang kemahiran dan ketidakupayaan untuk menarik tenaga kerja adalah halangan utama kepada transformasi, menunjukkan keperluan yang jelas untuk latihan dan kemahiran semula merentas industri.

“Enam daripada 10 pekerja akan memerlukan latihan sebelum 2027 tetapi hanya separuh daripada pekerja dilihat mempunyai akses kepada peluang latihan yang mencukupi pada hari ini.

Ads by Kiosked

“Pada masa yang sama, laporan itu menganggarkan, secara purata, 44% daripada kemahiran pekerja individu perlu dikemas kini,” katanya.

Laporan itu menekankan bahawa untuk menangani krisis kos sara hidup, 36% syarikat menyedari bahawa menawarkan gaji yang lebih tinggi boleh membantu menarik tenaga kerja.

“Empat daripada lima syarikat yang ditinjau merancang untuk melabur dalam pembelajaran dan latihan di tempat kerja serta mengautomasikan proses dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Dua pertiga daripada syarikat menjangka mendapat kembali pulangan pelaburan bagi latihan kemahiran dalam tempoh setahun pelaburan, sama ada dalam bentuk mobiliti silang peranan yang dipertingkatkan, peningkatan kepuasan pekerja atau peningkatan produktiviti pekerja,” kata WEF. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.