Monday, May 1, 2023

Elegi untuk Mael XPDC

 

Sambil baring meredakan letih seharian bekerja, saya menguis-nguis skrin telefon pintar untuk melihat status kawan-kawan di Facebook. Kuis punya kuis tiba-tiba saya tergamam melihat “posting” Amir Sepet, seorang kawan saya. Amir kongsi sebuah “post” daripada pengurus Mael XPDC mengumumkan pulangnya penyanyi metal rock tersebut ke rahmatullah. Saya bingkas menghubungi Amir yang menjawab, “begitulah”. Walaupun Amir dalam lingkungan kawan-kawan artis yang tentulah mendapat maklumat tepat, itu belum cukup memuaskan hati. Saya inginkan kepastian. Teringatkan seorang kawan di Muar, langsung saya menghubungi kartunis, Sukun, yang merupakan salah seorang sahabat Mael. Bukan itu sahaja, Sukun memang sama-sama menetap di Muar dengan Mael.

“Ya, aku kat hospital ni. Dapatlah tatap dan peluk arwah. Jenazah arwah tenang,” ujar Sukun dengan nada perlahan tapi tersusun. Saya tidak mahu banyak tanya mengapa dan apa sebab. Cukup sekadar pengesahan sahaja lalu menutup perbualan dengan ucapan takziah dan terima kasih. Letih bekerja terus hilang, saya menghidupkan enjin motosikal dan terus meluncur dari Bangsar ke Sungai Buloh menuju ke studio Tam Spider dan Firdaus (pemuzik yang selalu mengiringi artis terkenal seperti M Nasir, Search, Spider, Awie, atau Hattan). Nampaknya mereka sudah maklum akan berita pemergian Mael. Selain menghadiahkan Al-Fatihah, saya bersama Firdaus, Tam, dan Naza (kru penyanyi Awie) mula bercerita tentang Mael.

“Mael ‘lejen’,” saya memulakan perbualan. Saya tidak mengenali Mael secara peribadi tetapi sebagai pengikut dunia muzik arus perdana tanah air saya akui Mael “rocker” yang ‘lain macam’. Mael dan XPDC pembawa ideologi Kita Peng-Yu. Semangat Kita Peng-Yu menjadi pegangan kuat bagi peminat mereka.

“Huuuuuu lejen tu!” Akui Firdaus yang berpengalaman sebagai “sessionist” untuk “keyboard” dalam album kedua XPDC bertajuk Timur Barat. “Mael punyai ‘attitude’ sebagai ‘rocker’ sejati. Peminat XPDC boleh menerima keadaan Mael seadanya sewaktu persembahan. Dia ada aura dia.”

“Dia berdiri menyenget sahaja macam stail dia yang selalu tu, tak perlu bercakap banyak pun penonton dah separuh gila,” sampuk Naza sambil ketawa.

“XPDC abang-abang gua,” ujar Tam Spider. “XPDC termasuk dalam ‘Big Four’ bersama Search, Wings, dan May. Tak boleh dinafikan ini.”

Ini kenyataan daripada Tam, seorang “rocker” angkatan pasca era rock kapak. Tam menceritakan pengalaman suatu masa dahulu band Spider sepentas bersama band XPDC dalam siri jelajah Malaysia. Ada ketikanya penganjur menyarankan agar Spider buat persembahan selepas XPDC.

“Hoh! No! No!” kata Tam. “Kami tak akan main selepas XPDC. Diorang ‘lejen’, mana boleh diorang main awal. “Kita salut rakan yang lebih senior,” katanya dan disokong oleh Firdaus yang mengangguk-angguk.

Ads by Kiosked

Diakui Mael kadangkala tidak ‘fit’ ketika membuat persembahan tetapi peminat XPDC menerima Mael sepenuhnya. Mael buah hati peminat tegar XPDC. Itulah keajaiban Mael. Sokongan kepadanya sangat istimewa. Susah nak dapat keadaan macam itu.

Sedang rancak berbual penyanyi Hazama sampai. Hazama menyertai perbualan kami.

“Arwah mempunyai ‘tone’ suara yang unik dan amat digemari setiap peminat rock sehingga ke seluruh pelosok negara,” kata Hazama.

Ya! Saya masih ingat lagi album pertama XPDC berjudul Darjah Satu mencetus fenomena. Lagu C.I.N.T.A melonjakkan nama Mael dan band XPDC sebaris dengan kumpulan rock sedia ada. Lagu seperti mengeja itu memecah “stereotype” lagu balada rock seperti Isabella, Suci Dalam Debu, atau Taman Rashidah Utama.

“Album tu semua lagu sedap!” Jerit Naza. XPDC terus mencipta fenomena melalui album seterusnya malah muzik metal 60-an yang dipelopori mereka menjadi ikutan. Berlambak band buat lagu metal 60-an selepas XPDC mencipta trend. XPDC diberi jolokan Raja Funfair. Imej serba hitam mereka menjadi ikutan. Setiap konsert mereka di seluruh bandar dan desa sehingga ke tanah rancangan dipenuhi dengan peminat yang berpakaian serba hitam. Saya masih ingat sewaktu menjadi guru di Kuala Lipis pada pertengahan 90-an dulu ada budak yang bekerja di dewan makan asrama sanggup tidur di surau kosong seorang diri tidak jauh dari tapak “funfair” selepas konsert sebab bas sudah tak jalan sesudah 7 malam. Subuh esoknya baru dia balik ke tempat kerja menaiki bas pertama. XPDC punya penangan dia sanggup.

Suasana sepi seketika. Firdaus membuka kotak akordion dan memainkan beberapa not. Kesayuan terus menangkap apabila bunyi akordian berlegar dalam studio. Firdaus menekan nada-nada lagu Arab diikuti lagu klasik Melayu. Tam mencapai gitar akustiknya. Intro salah satu lagu nyanyian Mael bersama XPDC dia mainkan. Firdaus mengikut dengan akordionnya. Hazama mengambil mini cajon (agaknyalah kot! Sebab macam cajon tapi bersaiz kecil) lalu mengetuk mengikut rentak. Dia menyanyikan lagu Titian Perjalanan dengan mengikut gaya suara Mael. Hazama memang mempunyai bakat meniru gaya beberapa penyanyi. Kalau dia ada memang suasana selalunya akan jadi kelakar. Dalam kelakar kami terus melayan. Saya dan Naza memejamkan mata menghayati alunan Hazama sambil menganggukkan kepala. Sesekali saya keluarkan suara juga mengiringi Hazama tapi suara saya perlahan. Saya tak berani menyanyi kalau depan mata ada Hazama apatah lagi yang main muzik pula Tam dan Firdaus. Malu wo! Kesedapan suasana ini tak ingin saya rosakkan dengan suara saya.

Kami bermain tidak kuat, cukup untuk kami berlima sahaja melayan kesayuan malam itu.

“Perjalanan di titian
Masa kita perlukan
Perjalanan masa kita
Zaman berzaman teguh ikatan
Sempurna insan
Itu harapan padaku
Aku harapkan…”

Malam itu “tribute” kami untuk Mael selain sepotong surah Al-Fatihah. Itu tanda penghormatan kami kepada seorang “lejen” yang tiada duanya. Mael dengan alunan suara unik kurniaan dari Illahi sudah pasti akan sentiasa hidup di hati kita. Terima kasih Mael. Al-Fatihah. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.