KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata tidak adil untuk bercakap soal prestasi kerana kerajaan perpaduan baru berusia tujuh bulan.
Zahid juga meminta rakyat memberi peluang kepada kerajaan dipimpin Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menunjukkan “prestasi sebenar”.
“Peluang mesti diberikan kepada kerajaan perpaduan untuk memperlihatkan prestasi kerana kerajaan yang baru tujuh bulan ini tidak adil untuk dilemparkan soal prestasi,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Penutupan Seminar Fikrah Siddiq Fadzil Citra Budaya dan Peradaban Bangsa Malaysia Di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Semalam, media melaporkan hasil kaji selidik dijalankan Endeavour-MGC, mendapati 52% responden Melayu dan 46% responden semua kaum tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan perpaduan menangani isu inflasi dan kos sara hidup.
Kajian tersebut menunjukkan sekitar 22% daripada 1,068 responden melibatkan semua kaum mahu kerajaan memberikan keutamaan paling tinggi terhadap usaha mengurangkan inflasi dan menjana pertumbuhan ekonomi.
Menurut Zahid, prestasi akan dilihat melalui pelaksanaan, misalnya menerusi pengumuman dibuat kerajaan seperti belanjawan negara.
Justeru, katanya penting untuk kerajaan memastikan pengurusan dana rakyat diurus berhati-hati dengan tatakelola baik dari segi ketelusan agar tidak berlaku rasuah, penyelewengan mahupun salah guna kuasa. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.