Tuesday, May 30, 2023

Kes buli MRSM menjadi-jadi, Asyraf akan panggil semua pihak terlibat

 

Asyraf Wajdi Dusuki berkata buli secara fizikal mahupun emosi perlu dikekang kerana mampu memudaratkan psikologi dan perkembangan minda mangsa. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Susulan beberapa siri kes buli membabitkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) baru-baru ini, pengerusinya, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata beliau akan memanggil semua pihak yang terlibat agar isu itu dapat ditangani secara holistik.

“Dalam masa terdekat saya akan memanggil semua pihak yang terlibat, pengetua, guru kaunseling, warden dan pihak terlibat di peringkat pusat.

“Buli ini adalah penyakit yang tidak boleh dipandang enteng,” tegas Asyraf menerusi hantaran di Facebook.

Ads by Kiosked

Semalam, polis menahan seorang pelajar Tingkatan 2 MRSM Balik Pulau di Pulau Pinang bagi membantu siasatan kerana disyaki membuli rakannya sehingga menyebabkan mangsa cedera di muka.

Kejadian itu adalah terbaharu membabitkan MRSM Balik Pulau selepas lima pelajar Tingkatan 5 ditahan minggu lalu kerana disyaki membuli pelajar junior sekolah berkenaan.

Polis berkata, pelajar berkenaan ditahan kerana disyaki memukul beberapa pelajar junior kerana lewat turun untuk solat Subuh.

Asyraf berkata buli secara fizikal mahupun emosi perlu dikekang kerana mampu memudaratkan psikologi dan perkembangan minda mangsa.

Katanya, alasan “ia adalah kehidupan biasa di asrama dan jangan laporkan kepada ibu bapa” tidak boleh diterima sama sekali.

“Budaya ‘jibam’ atau boikot kepada pelajar yang buat laporan juga adalah satu bentuk kesalahan dan tidak boleh dibiarkan menjadi amalan.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.