Saturday, June 24, 2023

Konservatisme, karenah birokrasi tak disenangi artis asing

 

Malaysia tiada dalam jadual jelajah dunia penyanyi terkenal Taylor Swift yang akan membuat persembahan di Jepun dan Singapura pada tahun depan. (Gambar Facebook Taylor Swift)

PETALING JAYA: Konservatisme semakin meningkat dan karenah birokrasi melampau antara punca utama Malaysia tiada dalam siri jelajah dunia artis asing, kata penganjur konsert.

Presiden Persatuan Penggiat Festival Antarabangsa (Alife) Rizal Kamal berkata berita bantahan terhadap persembahan dan artis menimbulkan ketakutan di kalangan penghibur dan pengurus mereka.

Beliau merujuk bantahan Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari terhadap konsert penyanyi dan penulis lagu Amerika Syarikat, Billie Eilish tahun lalu serta amarannya terhadap protes di peringkat nasional, melainkan Putrajaya membatalkan konsert menampilkan artis antarabangsa.

“Suara konservatif yang menentang persembahan langsung menjejaskan industri dengan teruk,” katanya yang mengendalikan syarikat acara langsung. Peminat muzik di rantau ini juga dihalang daripada melancong untuk menyaksikan artis kegemaran mereka.

“Jika konsert dibatalkan atas sebab protes atau sebarang alasan, tiket akan dikembalikan. Tetapi bukan (wang yang dibayar untuk) penerbangan dan penginapan; ini perlu diuruskan secara manual dengan syarikat penerbangan dan hotel.”

Susulan keputusan Coldplay mengadakan enam persembahan di Singapura pada Januari depan, ramai yang mempersoalkan kenapa kumpulan British itu tidak mengadakan lebih daripada satu konsert di Kuala Lumpur.

Malaysia juga tiada dalam jadual jelajah dunia pemenang Anugerah Grammy, Taylor Swift yang akan mengadakan persembahan di Jepun dan Singapura tahun depan.

Rohit Rampal, ketua pegawai eksekutif syarikat pengurusan acara, Hitman Group percaya Malaysia akan hilang ratusan juta ringgit dari segi ketibaan pelancong memandangkan Coldplay hanya mengadakan satu persembahan di Malaysia.

“Ia bukan hanya penganjur konsert, tetapi membabitkan pengangkutan, penerbangan, hotel dan gerai tempatan, kerugian (venue). Seluruh ekosistem akan rugi atas enam malam (persembahan itu).”

Katanya, industri acara tempatan perlu menetapkan hala tujunya dan beliau memberi amaran Malaysia berisiko mengalami lebih banyak kerugian jika tidak menjadi lebih progresif serta menerima pelbagai jenis kandungan.

“Perlu ada garis panduan dan visi jelas bagaimana kita mahu Malaysia ditunjukkan (kepada dunia),” katanya sambil menambah masa depan industri bergantung kepada kerajaan sama ada mahu menjadi progresif atau regresif.

Rohit dan Rizal berkata, permohonan permit untuk penghibur asing adalah tugas berat, justeru mereka menggesa proses itu dipercepatkan dan kerjasama lebih erat antara kerajaan serta pemain industri.

Badan bertanggungjawab meluluskan permit artis asing ialah Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital.

Rohit berkata, lembaga pengarah Puspal termasuk wakil pihak berkuasa tempatan, Jabatan Imigresen, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan pihak berkuasa agama.

“Badan kelulusan itu bukan terdiri daripada pihak berkepentingan, penganjur atau artis daripada acara atau industri hiburan, sebaliknya mereka ialah pegawai kerajaan dan wakil jabatan kerajaan.”

Walaupun pegawai Puspal yang berurusan dengannya sangat bertolak ansur, tetapi katanya, mereka terikat dengan peraturan lama. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.