Sunday, June 25, 2023

Mudahnya fitnah ditelan

 

Apa beza ‘berita palsu’ dengan ‘fitnah’? Keduanya berkait rapat. Boleh dikatakan ‘fake news‘ dan fitnah sama. Kerana berita palsu, this is stating the obvious, sesuatu yang tidak betul. Fitnah pun sesuatu yang tidak betul. Keduanya direka cipta.

Menurut Wikipedia, berita palsu ialah “sejenis kewartawanan ‘kuning’ atau propaganda yang terdiri daripada penyebaran maklumat salah atau olok-olok secara sengaja melalui akhbar tradisional, media penyiaran, mahupun media sosial dalam talian.” Mengikut Wikipedia lagi, berita palsu “disiarkan dengan niat untuk mengaburi mata ramai bagi mengaibkan pihak tertentu demi kepentingan kewangan atau politik sendiri”. Kamus Dewan edisi keempat memberi pengertian “fitnah” sebagai “tuduhan ( khabar dan lain-lain) yang diada-adakan (dibuat-buat) untuk memburukkan atau membencanakan seseorang”.

Malangnya berita palsu dan fitnah sering dipercayai ramai dengan mudah. Mungkin ia dihidang secara amat menggiur serta menyelerakan sehingga memukau si penerima. Sememangnya si penerima (baca: rakyat biasa) susah untuk memastikan informasi yang diterima benar atau tidak, apa lagi tidak punya the means and access to dig the truth. Kata Joseph Goebbels, menteri propaganda rejim Nazi pimpinan Adolf Hitler, sampaikan pembohongan berulang kali akhirnya ia akan dipercayai sebagai kebenaran dan lagi besar pembohongan lagi ramai orang akan percaya.

Apa pun sering juga orang percaya apa yang mereka mahu percaya. Misalan seseorang itu sejak awal lagi dibenci, for whatever reason. Apabila sesuatu berita negatif mengenai orang itu disebarkan, ia dengan cepat dipercayai oleh golongan yang sememangnya membencinya – ditelan bulat-bulat sebab sudah ada prejudis. Ini lazim membabitkan soal politik.

Bercakap secara am, ahli biasa parti politik – maksud saya ahli yang tidak pegang jawatan – akan percaya apa yang disampaikan pemimpin mereka tanpa selidik dan berfikir panjang. Kadangkala timbul berita yang umum boleh kesan tidak benar tetapi ramai mempercayainya. Dalam lain perkataan, golongan berkenaan memilih untuk mempercayainya meskipun berita yang diterima tidak masuk akal dan tidak logik.

Baru-baru ini satu poster disebar di media sosial mengucapkan tahniah kepada pemimpin DAP Teresa Kok atas pelantikannya sebagai Pengerusi Felda. Tidak tahu siapa yang cipta dan edar. Laman Facebook Adun PAS unuk kawasan Kubu Gajah Perak Khalil Yahaya berkongsi dakwaan itu diiringi kata-kata: “Hari ini dimaklumkan pengerusi Felda telah ditukar ke YB Teresa Kok menggantikan Idris Jusoh. Selamat berkhidmat.” Felda kemudian menafikan dan memberitahu tiada sebarang pengumuman rasmi berhubung pengerusi baharu setakat ini dan “sebaran poster adalah tidak berkaitan”.

Susulan penafian itu laman Facebook Khalil memadam hantaran mengenai Kok manakala Khalil memohon maaf secara terbuka. Kata beliau hantaran itu “bukan dari pihak Adun tetapi admin yang mengelolakan laman.” Walaupun tidak tahu siapa yang mencipta dan menyebar poster berkenaan adalah jelas ia bertujuan menyerang kerajaan dengan menimbulkan kemarahan orang Melayu terhadap kerajaan, dengan memberi bayangan ia menghentikan khidmat pengerusi berbangsa Melayu untuk digantikan seorang Cina, yang diberi kepercayaan mengawasi satu badan yang tugasnya utamanya menjaga kepentingan peneroka Felda yang majoritinya orang Melayu. Itu bagi saya yang tersurat dan tersirat.

Pada hemat saya kepincangan poster itu boleh dikesan sekali pandang dengan senang. Rasanya kerajaan tidaklah begitu naif untuk melantik seorang bukan Melayu mengawal selia satu badan yang fungsinya menjaga kepentingan orang Melayu seperti dikatakan tadi. Apatah lagi enam pilihan raya negeri menjelang. Tidak mungkin kerajaan yang masih berusaha mencari sokongan padu orang Melayu mahu melaksanakan apa yang saya anggap suicidal.

Hakikatnya jika melihat informasi dengan cermat dan rasional, kesalahan (atau kebenaran) maklumat yang diterima boleh dikesan sendiri. Begitu juga lain-lain poster membabitkan DAP khususnya yang ramai mungkin pernah tengok. Umpamanya yang memaparkan gambar pemimpin DAP diiringi kapsyen kononya petikan ucapan mereka yang anti-Islam atau anti-Melayu.

Ikut logik kalau benar mereka atau sesiapa sahaja yang sememangnya anti-Islam dan bercita-cita mahu menghapuskan Islam (yang mustahil) adakah mereka akan umum hasrat secara terbuka? Bukankah apabila diumum, cita-cita mereka akan ditentang habis-habisan dan impian mereka akan digagalkan oleh umat Islam?

Bukankah lebih baik rahsiakan hasrat itu? Adakah mereka begitu bodoh sehingga mendedahkan rahsia sendiri? Semua persoalan itu mesti bermain di minda apabila menerima maklumat kononnya si polan dan si anu anti-Islam atau anti-Melayu, anti itu dan ini.

Perlu dinyatakan formula ini yang menekankan penelitian cermat bukan hanya untuk tuduhan terhadap DAP. Ia juga mencakupi semua parti politik berhubung pelbagai tuduhan. Terutama tuduhan liar konon Hadi Awang menerusi poster yang tular di media sosial menyeru umat Islam membunuh musuh Islam. Malik Razak, setiausaha akhbar presiden PAS itu, memberitahu FMT poster itu fitnah.

Realitinya fake news akan terus di sebar, fitnah akan terus dilempar lawan dan kawan terutama apabila pilihan raya berlangsung. Ada banyak slogan anti-berita palsu dihasilkan pelbagai rangkaian pencari fakta atau fact finding network sebagai penggalak untuk orang awam.

Maka saya akhiri artikel ini dengan menampilkan satu daripada slogan itu yang berbunyi “Spotting fake news is an art, protect your heart.” - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.