Thursday, June 1, 2023

RTG akan pertimbang biaya Zii Jia sertai kejohanan antarabangsa

 

Hamidin Mohd Amin bergambar dengan Lee Zii Jia selepas mengadakan pertemuan di Petaling Jaya semalam. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Jawatankuasa Road to Gold (RTG) akan mempertimbangkan beberapa permintaan pemain badminton profesional negara, Lee Zii Jia dalam usaha mengembalikan prestasinya menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.

Ketua kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris 2024, Hamidin Mohd Amin berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa RTG.

Antara permintaan atlet berusia 25 tahun itu termasuk pembiayaan menyertai kejohanan di luar negara.

Ads by Kiosked

“Itu juga (kos pembiayaan) antara yang dibincangkan. Dia (Zii Jia) ini sama seperti pemain lain juga, memang kita sudah bincang sebelum ini.

“Kita akan selaras dalam mesyuarat RTG mengenai permintaan mereka semua. Saya ingat permintaan ini semua memadai untuk memberi sokongan kepada mereka.

“Ini semua memang antara tujuan utama RTG yang diilhamkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk kita lakukan,” katanya menurut Astro Awani.

Daripada 11 wakil badminton dalam program RTG, Zii Jia antara pemain yang bergerak secara profesional.

Pemain di ranking ke-10 dunia itu beraksi tanpa jurulatih sepenuh masa selepas berpisah dengan bekas jurulatihnya, Indra Wijaya dari Indonesia akhir 2022.

Zii Jia yang tersingkir seawal pusingan kedua Masters Malaysia minggu lalu, dijadualkan beraksi di Terbuka Singapura minggu depan, diikuti Terbuka Indonesia. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.