Tuesday, August 1, 2023

Ludah makanan: Betul atau tuduhan liar?

 

Pasti anda seperti saya, ada tengok video yang diterima melalui WhatsApp dan sebagainya akan peniaga meludah ke dalam makanan sebelum dibeli pelanggan.

Ada beberapa video yang menyajikan adegan menjijikkan itu. ‘Informasi’ yang mengiringi video berkenaan mendakwa golongan peniaga India Muslim yang kita panggil mamak melakukannya di kedai masing-masing.

Secara peribadi, saya tidak nampak dengan jelas apa yang ditayangkan. Diakui mata saya agak kabur pada usia dewasa ini walaupun bercermin mata. Mungkin apa yang berlaku dilakukan dengan cepat, seperti yang diberitahu ‘informasi’ berkenaan. Siapa yang bikin video itu tidak saya ketahui.

Lalu persoalan penting ialah adakah ini benar-benar berlaku? Kalau bukan semua mungkinkah segelintir peniaga yang berbuat demikian, berdasarkan kepercayaan tertentu sebagai ‘pelaris’ mungkin?

Tetapi jika tujuannya ‘melaris’, mengapa ludah depan pelanggan, malah di khalayak? Boleh sahaja dilakukan secara rahsia di dapur semasa sajian di masak, jauh daripada penglihatan orang. Bukan begitu?

Dua rakan India Muslim saya hubungi untuk mendapat reaksi. Mereka tahu selok-belok operasi restoran mamak, tetapi tidak ada kepentingan dalam isu ini kerana bukan peniaga makanan. Sengaja mereka saya hubungi kerana neutrality mereka.

Kedua-dua yakin perbuatan kotor yang dituduh pada mamak itu tidak berlaku:

“All restaurants that I know follow strictly food hygiene and the relevant SOP. I believe this has been blown out of proportion,” kata salah seorang daripada mereka.

Ads by Kiosked

Seorang lagi berkata barangkali dakwaan dilemparkan oleh pesaing untuk sabotaj perniagaan. Katanya, mamak ada ramai enemies. Maklumlah kebiasaannya perniagaan mereka cukup maju.

Menurut beliau lagi, dakwaan mula timbul di India oleh golongan yang punyai agenda anti-Islam. Mengambil kira apa yang dikatakan itu, mungkin video meludah di sana disajikan di Malaysia.

Namun ada juga video yang mendakwa meludah terjadi di kedai mamak di negara ini. Kita tahu ada pengusaha restoran mamak yang menolak dakwaan itu dan membuat aduan polis. Ini dilakukan secara individu kerana yang membuat aduan dituduh secara khusus. Agak pelik persatuan atau parti politik mewakili India Muslim tidak membuat penafian secara keseluruhan dan mengambil tindakan susulan.

Menyedihkan jika semua pengusaha kedai mamak dilihat sebagai pengotor dan melakukan perkara meloyakan. Tuduhan ke atas mereka boleh menjejaskan perniagaan.

Bayangkan jika pelanggan memboikot. Tetapi berdasarkan tinjauan rambang setakat ini mendapati kedai mamak masih dipenuhi pelanggan. Kalau dulu kena beratur panjang untuk mendapatkan hidangan, sekarang pun beratur panjang.

Ertinya tuduhan meludah tidak mendatangkan kesan ke atas perniagaan. Sehingga kini nasi kandar dan roti canai tetap laris.

Ads by Kiosked

Bagaimanapun untuk menjaga kepentingan peniaga dan pelanggan dan semua pihak berkaitan, pengulas isu semasa Imraz Ikhbal yang terkenal dengan voice note menyarankan kerajaan mengambil langkah tertentu, termasuk mengkelaskan tindakan meludah makanan sebagai jenayah.

“Criminalise it,” kata beliau yang membolehkan hukuman dijatuhi ke atas si pelaku, sama ada denda atau penjara tempoh pendek. Imraz juga mencadangkan pengendali makanan diwajibkan memakai pelitup muka. Setuju atau tidak mesti diakui sesuatu mesti dilakukan.

Ada lagi yang mesti dilakukan kerana membabitkan imej agama. Begini. Menerusi satu kumpulan WhatsApp yang saya anggotai dipapar laporan satu portal India yang mendakwa perbuatan meludah dalam makan direstui dan digalakkan oleh Islam.

Sesuatu yang tidak benar. Saya tidak tahu apa reaksi di India. Yang ingin saya tegaskan ialah para agamawan perlu beri perhatian dan membetulkan apa yang tidak betul. Kita tahu pada era dunia tanpa sempadan, informasi palsu tersebar pantas dan meluas. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.