Tuesday, August 1, 2023

REE: Sanusi dakwa perjanjian MBI-warga China sebelum beliau jadi MB

 

Sanusi Nor mendakwa So Loi Fat bertemunya untuk memberitahu perjanjian dibuat dengan Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah bagi perlombongan unsur nadir bumi (REE).

KUALA KEDAH: Sanusi Nor menegaskan lelaki warga China yang dikaitkan dengan kecurian unsur nadir bumi (REE) membuat perjanjian dengan Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah sebelum beliau menjadi menteri besar pada Mei 2020.

Mengakui mengenali So Loi Fat yang identitinya didedahkan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, Sanusi berkata lelaki itu memberitahunya beliau telah membuat pelbagai persediaan termasuk mengeluarkan belanja RM30 juta bagi perlombongan REE di Kedah.

“Masa jumpa dia (So) cerita telah bayar kepada MBI sebelum ini, habis RM30 juta dan macam-macam buat persiapan serta perjanjian (berkait REE) dengan MBI sebelum saya masuk pejabat MB.

Ads by Kiosked

“Jadi saya kata teruskan sahaja, buatlah apa hendak buat tetapi pastikan ikut undang-undang,” katanya ditemui media selepas program sembang santai di Kubang Rotan hari ini.

Sanusi turut meminta Saifuddin supaya menyemak semula terlebih dahulu maklumat untuk mengaitkan dirinya dengan isu terbabit.

Beliau mengulas pendedahan Saifuddin berhubung bukti terbaru isu kecurian REE termasuk gambar Sanusi dengan So yang dikaitkan dengan kegiatan itu.

Saifuddin yang juga setiausaha agung PKR berkata So adalah salah seorang daripada dua pekerja mahir yang dibawa masuk MBI Kedah.

Selain itu, Saifuddin turut mendedahkan dokumen permohonan Pas Lawatan Ikhtisas yang dipohon dan ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MBI Muhammad Sobri Osman.

Katanya, individu terlibat dengan kes kecurian REE juga berbeza dengan So dan perkara itu sememangnya diketahui Saifuddin.

Ads by Kiosked

“Beliau saja lontar untuk saya jawab, itu saya tak ada jawapan sebab itu hasil siasatan agensi penguatkuasa yang tak dedah pada saya.

“Beliau ambil maklumat siasatan dan dedah suruh kita jawab, mana kita tahu,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.